KUALA LUMPUR, 24 November: Polis telah mengambil keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang pelakon wanita menjadi mangsa gangguan seksual oleh pelakon lelaki ketika sesi penggambaran sebuah drama, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Sazalee Adam berkata setakat ini, individu yang telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, tunang pengadu yang juga pembantu peribadi (PA), suspek, pengarah serta dua saksi yang merupakan jurukamera.
“Rakaman percakapan sekurang-kurangnya 25 individu yang terdiri daripada kru penggambaran akan diambil secara berperingkat, mengikut kesesuaian masa memandangkan mereka kini telah bertugas dengan produksi yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan masih diteruskan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Sebelum ini, tular melalui media sosial pelakon wanita terbabit yang mendakwa berlaku gangguan seksual ketika sesi penggambaran sebuah drama. – Bernama




