KUCHING, 24 November: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai menerusi kunjungannya ke Jalan Carpenter pagi tadi.
Selepas bersarapan, Kong mengunjungi kawasan berkenaan untuk bertemu kenalan lama dan beramah mesra dengan orang ramai, selain bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, termasuk harapan mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau berkata, beberapa individu yang ditemuinya turut menyuarakan pandangan mengenai kepentingan kepelbagaian perwakilan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Mereka turut menyentuh peranan wakil rakyat dalam menyuarakan kebimbangan masyarakat, meneliti dasar serta menyumbang kepada perbincangan membina mengenai perkara yang memberi kesan kepada rakyat.
Kong berkata, interaksi tersebut memberi peluang untuk memahami dengan lebih dekat pandangan dan harapan masyarakat menjelang pilihan raya negeri.
Beliau menambah, sambutan yang diterima menjadi peringatan tentang tanggungjawab untuk terus mendekati masyarakat, bekerja keras dan memberi perhatian kepada isu-isu yang dihadapi rakyat.
Oleh Connie Chieng




