TAHOTECH raikan 597 graduan pada konvokesyen ke-28

Facebook
WhatsApp
BARISAN tetamu kehormat dan pengurusan universiti semasa berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-28 Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg (TAHOTECH) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

PETRA JAYA, 24 November: Seramai 597 graduan Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg (TAHOTECH), yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti i-CATS, diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-28 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Premier Sarawak yang juga Canselor TAHOTECH, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir Pro-Canselor TAHOTECH, Tan Sri Dr Abdul Aziz Datuk Husain serta Naib Canselor TAHOTECH, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi.

Daripada jumlah keseluruhan graduan, 387 menerima diploma, 105 memperoleh ijazah sarjana, 81 ijazah sarjana muda manakala 24 lagi menamatkan Pearson BTEC Level 5 HND Diploma.

Fakulti Ekonomi, Perniagaan dan Perakaunan mencatatkan jumlah graduan tertinggi iaitu 197 orang, diikuti Pusat Pembelajaran i-CATS Miri (164), Fakulti Pelancongan dan Hospitaliti (86), Fakulti Agroteknologi dan Sains Gunaan (50), Fakulti Pengkomputeran dan Kejuruteraan Perisian (47), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi (32) serta Fakulti Pendidikan (21).

SALAH seorang graduan menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di BCCK, hari ini.

Pada majlis itu, Arvanesa Lenta Rawang daripada program Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Agroteknologi menerima Anugerah Canselor.

Anugerah Pro-Canselor pula diberikan kepada Chen Jing Yuan daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian) dan Mohammad Zikra Madenan daripada program Diploma Seni Kulinari. Seramai 14 graduan lain turut menerima Anugerah Graduan Terbaik.

TAHOTECH turut merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98 peratus, sekali gus mencerminkan usaha universiti itu melahirkan graduan yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan keupayaan memenuhi keperluan industri.

Dalam pada itu, seramai 304 pelajar TAHOTECH mendapat manfaat daripada Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat Julai 2026 menerusi program pengajian yang layak. Inisiatif itu bertujuan memperluas akses kepada pendidikan tinggi selain mengurangkan beban kewangan keluarga.

Universiti itu juga sedang membangunkan kampus baharu di Trombol sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuh kemudahan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi.

GRADUAN mengikuti amanat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang disampaikan pada Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di BCCK, hari ini.

Fasa pertama pembangunan kampus berkenaan dijadualkan melibatkan perpindahan empat fakulti, iaitu Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Fakulti Agroteknologi dan Sains Gunaan serta Fakulti Peralihan Tenaga.

Konvokesyen kali ini turut menandakan fasa baharu institusi berkenaan selepas Kolej Universiti i-CATS menerima surat pengiktirafan status universiti penuh daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 20 Oktober 2026 sebelum dijenamakan semula sebagai Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg (TAHOTECH) pada 29 Oktober 2026.

Perubahan identiti itu mencerminkan hala tuju universiti berkenaan untuk memperkukuh pendidikan berteraskan teknologi, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat bagi menyokong keperluan industri serta ekonomi masa depan Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud