Sukan SEA 2027 jadi pemangkin ekonomi, pelancongan Sarawak – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

KUCHING, 24 November: Penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak dijangka memberikan limpahan ekonomi dan pelancongan yang besar kepada pemain industri tempatan, khususnya usahawan kecil, pengusaha kraf tangan serta sektor perhotelan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata temasya sukan dwitahunan itu menjadi platform terbaik usahawan tempatan mempromosikan produk Bumi Kenyalang bagi menarik pelawat dari dalam dan luar negara.

“Kerajaan negeri pun memberikan penekanan yang agak tinggi terhadap Sukan SEA ini kerana kita tahu bahawa penganjuran acara sukan yang terbesar pernah diadakan di Sarawak ini akan menganjakkan lagi industri lain, terutama sekali industri pelancongan dan juga hospitaliti,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama dengan Bernama, baru-baru ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata formula penganjuran festival makanan, kebudayaan dan jualan kraf tangan seperti yang telah dilaksanakan pada acara besar terdahulu akan diterapkan sepanjang temasya Sukan SEA berlangsung.

Mengulas tentang lokasi festival, beliau berkata hampir kesemua fasiliti sukan yang akan digunakan pada temasya itu di negeri ini berada dalam satu kawasan Kompleks Sukan Sarawak, sekali gus memudahkan penyediaan ruang niaga dan aktiviti sampingan. 

“Acara berenang, menembak, kriket dan golf pun dekat sana (Kompleks Sukan Sarawak). Jadi, apabila diletakkan atlet, mereka sudah berada dalam satu perkampungan dan di situlah juga kita akan gunakan sebagai lokasi untuk penjualan makanan Sarawak, kraf dan pelbagai jualan. 

“Kita tidak akan menghadapi masalah kerana lokasi itu akan menjadi pesta dalam kawasan yang kita panggil dataran sambutan … (segalanya) di Kompleks Sukan Sarawak,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata sewaktu acara Regata Sarawak dan Festival Tebingan Kuching tahun lepas, jualan produk kraf tangan mampu menjana hasil melebihi RM2 juta dalam tempoh seminggu, manakala penganjuran pesta makanan dan hiburan di beberapa bahagian negeri turut merancakkan perniagaan usahawan muda.

Berhubungan dengan penempatan atlet, Abdul Karim berkata Sarawak tidak menggunakan sistem Perkampungan Sukan seperti penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini, sebaliknya menempatkan setiap kontinjen di hotel dengan penyelarasan logistik dan pengangkutan yang teliti.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa kapasiti penginapan hotel di negeri ini mencukupi untuk menampung kesemua 10 negara peserta, manakala ahli keluarga dan penyokong boleh memanfaatkan pangsapuri servis yang semakin mendapat permintaan tinggi.

“Kalau kita ikut betul-betul, jumlah hotel memang mencukupi untuk menampung kesemua 10 negara. Sarawak ada banyak apartmen servis kerana pelancongan perubatan di sini sedang berkembang … jadi, ahli keluarga dan penyokong (Sukan SEA) kemungkinan besar akan menggunakan apartmen servis,” katanya. 

Pada Sukan SEA 2027, Sarawak bakal menjadi tuan rumah bagi 18 daripada 36 acara, antaranya sukan renang, terjun, tenpin boling, memanah dan menembak. – Bernama

KASUS Batu Kitang perkukuh perpaduan masyarakat

KUCHING, 23 November: Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Batu Kitang 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat apabila menghimpunkan peserta daripada