SARATOK, 23 November: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok bertindak pantas memberikan bantuan kecemasan dengan menghantar seorang warga emas lelaki berusia 71 tahun dari Rumah Berarek Kedap, Melupa ke Hospital Saratok, petang tadi.
Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar namun mengalami kelemahan anggota tubuh badan ketika bantuan diperlukan.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.42 petang yang memohon bantuan untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan di hospital.
Menurutnya, sepasukan empat anggota daripada Skuad Bravo segera digerakkan ke lokasi kejadian pada 3.49 petang sebelum tiba di rumah panjang berkenaan pada 4.10 petang.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati benar terdapat seorang lelaki warga emas dalam keadaan sedar tetapi mengalami kelemahan anggota tubuh badan.
“Anggota kemudian membantu mengangkat mangsa dari kediamannya ke dalam ambulans sebelum membawanya ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa berjaya dihantar ke Hospital Saratok pada 4.36 petang dan diserahkan kepada pihak hospital bagi tindakan serta rawatan selanjutnya.
Operasi bantuan itu melibatkan empat anggota APM dengan menggunakan sebuah ambulans serta beg perubatan.
Jarak perjalanan sehala dari pangkalan operasi ke lokasi kejadian adalah kira-kira 20 kilometer.
Tindakan pantas anggota APM itu memperlihatkan komitmen pasukan berkenaan dalam memberikan khidmat bantuan kecemasan kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Oleh Adi Safarman




