Mayat lelaki belum dikenal pasti ditemukan di Jalan Bukit Lima

Facebook
WhatsApp

SIBU, 23 November: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di kawasan semak berhampiran bekas tapak pengumpulan besi buruk di Jalan Bukit Lima di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira 6.57 petang semalam.

Beliau berkata, sejurus menerima maklumat, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati keadaan mayat memerlukan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa serta menentukan punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan, manakala polis sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa serta mengesan warisnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat berkenaan diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat SI Donny Lai menerusi talian 013-8335571 atau Balai Polis Ulu Lanang di 084-211221 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Oleh Tarani Lanting