ART dijangka mula beroperasi Januari depan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Samarahan di Kuching hari ini. Foto Ukas

KUCHING, 23 November: Sistem pengangkutan awam moden, Autonomous Rapid Transit (ART), dijangka mula beroperasi pada Januari tahun depan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu bakal memperkukuh rangkaian pengangkutan awam serta meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan, khususnya Kuching dan Samarahan.

“Pembangunan infrastruktur pengangkutan dan rangkaian jalan raya itu sekali gus akan membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti ekonomi serta pembangunan perumahan,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Samarahan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin dilaporkan berkata bahawa operasi perintis ART di Kuching akan dimulakan menjelang akhir tahun ini bagi menguji prestasi, aspek keselamatan dan tahap kesiapsiagaan sistem berkenaan sebelum perkhidmatan itu beroperasi secara komersial.

Menurut beliau, ujian berkenaan akan dilaksanakan di jajaran Laluan Biru Fasa 1 yang menghubungkan Rembus dengan Northbank.

Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), yang bermula pada November 2022, menyaksikan Depoh Rembus menjadi komponen pertama yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu di Kuching. – Bernama