Budaya membaca dan adab ditekankan pada Majlis Apresiasi Bestari Tellian

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir berucap ketika merasmikan Majlis Apresiasi Bestari Tellian di Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian, hari ini. Foto Adibfahmy.

MUKAH, 23 November: Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir, menyumbangkan sejumlah RM500 kepada pelajar yang dinobatkan sebagai Tokoh NILAM pada Majlis Apresiasi Bestari Tellian di Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian, Mukah, hari ini.

Berucap semasa merasmikan majlis tersebut, beliau menegaskan amalan membaca perlu dijadikan budaya berterusan dengan menjadikan prinsip ‘tiada hari tanpa membaca’ sebagai pegangan harian bagi membentuk sahsiah serta kecemerlangan diri pelajar.

DATUK Dr Jeniri Amir menyampaikan anugerah Tokoh Murid Harapan semasa majlis hari ini. Foto Adibfahmy.

“Anda adalah apa yang anda baca. Tidak ada ruginya untuk terus membaca kerana yang penting dalam hidup ini ialah sentiasa bergerak ke hadapan untuk maju,” katanya.

Menurut beliau, pendidikan dan ilmu merupakan kunci utama untuk melangkah jauh dalam mengubah nasib. 

KENANGAN… Gambar bersama warga SK Kg Tellian semasa penutupan majlis. Foto Adibfahmy.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ketentuan Tuhan berada di luar jangkaan manusia dan tiada siapa yang akan selamanya berada di belakang atau terus hidup dalam kesusahan jika berusaha gigih.

“Kejayaan tidak jatuh dari langit kerana kesungguhan, disiplin, komitmen dan kesediaan untuk berkorban merupakan resipi untuk orang yang hendak berjaya,” katanya lagi. 

Tambah beliau, kecemerlangan turut menuntut penekanan terhadap kualiti dalam setiap perkara yang dilakukan agar seseorang terus maju, selain memastikan ilmu sentiasa seiring dengan adab.

“Saya berpegang kepada falsafah Jepun yang menyatakan hari ini lebih baik daripada semalam, dan esok lebih baik daripada hari ini. 

“Falsafah ini menekankan keperluan untuk sentiasa memperbaiki diri hari demi hari,” katanya lagi. 

Beliau berharap sumbangan dan amanat yang disampaikan dapat menyuntik semangat kepada warga SK Kampung Tellian untuk terus mengejar kecemerlangan baik dari segi akademik atau sahsiah.

Turut hadir, Pegawai pejabat pendidikan daerah mukah, Abang Djohan Abang Isa, Yang dipertua PIBG, Roslin Seluroh, dan Penghulu Kampung Tellian, Winnie Wena Dominic Lai.

Oleh Adibfahmy