PUTRAJAYA, 23 November: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya segera menghentikan penggunaan dua produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual dan bahan larangan, termasuk sejenis bahan aktif racun kulat yang berpotensi menjejaskan fungsi hati.
KKM memaklumkan dua produk berkenaan ialah Toporin-Hydra Sensitive Cream yang dikesan mengandungi miconazole dan Wan Fu Shuang Lotion yang mengandungi imazalil, sekali gus menyebabkan kedua-duanya tidak dibenarkan dijual di Malaysia.
Menurut KKM, racun imazalil yang turut dikenali sebagai enilconazole, merupakan bahan larangan tidak dibenarkan sama sekali dalam formulasi kosmetik.
“Imazalil adalah sejenis bahan aktif racun kulat yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan. Pendedahan kepada bahan ini boleh menyebabkan kerengsaan mata yang serius, manakala pendedahan berulang atau berpanjangan berpotensi menjejaskan fungsi hati,” menurut kenyataan KKM hari ini.
Sementara itu, KKM memaklumkan miconazole merupakan racun berjadual yang tidak dibenarkan digunakan dalam produk kosmetik kerana produk mengandungi bahan berkenaan diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan.
Menurut kementerian itu, ubat yang mengandungi miconazole hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan tanpa pengawasan sesuai boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan tidak diingini seperti peningkatan risiko kerintangan antimikrob dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, KKM mengarahkan semua penjual dan pengedar supaya menghentikan serta-merta penjualan dan pengedaran kedua-dua produk kosmetik terbabit.
Kementerian itu turut mengingatkan bahawa penjualan dan pengedaran kosmetik tidak bernotifikasi merupakan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
Menurut KKM, individu disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM25,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh membawa denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula, denda hingga RM50,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
KKM turut menasihati pengguna yang mengalami ketidakselesaan atau kesan advers selepas menggunakan produk terbabit supaya segera menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan. – Bernama




