Rundingan COP31 gagal capai persetujuan berhubung bahan api fosil

Facebook
WhatsApp
SETIAUSAHA Eksekutif Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Simon Stiell (tengah), berbual dengan Presiden COP31 merangkap Menteri Alam Sekitar, Pembandaran dan Perubahan Iklim Turkiye, Murat Kurum (tiga dari kiri), ketika sesi pleno Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP31) di Pusat Ekspo Antalya, Antalya, pada 22 November 2026. Foto AFP

ANTALYA, Turkiye, 23 November: Rundingan iklim COP31 berakhir tanpa persetujuan pada Ahad selepas perjanjian yang menjadi pertikaian berhubung bahan api fosil gagal dimuktamadkan, sekali gus menyebabkan sidang kemuncak di Turkiye itu berlanjutan melebihi tempoh asal sehingga mencatat rekod baharu.

Perjanjian akhir ditolak dalam suasana tegang pada penghujung sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung dua hari melebihi jadual, sekali gus memperlihatkan tekanan terhadap usaha diplomasi dalam dunia yang semakin berpecah-belah.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang sebelum ini menggesa negara-negara supaya meninggalkan penggunaan bahan api fosil dan menjadikannya sebahagian daripada sejarah, menyuarakan kekecewaan mendalam.

“Saya turut berkongsi kekecewaan mendalam semua pihak yang mengharapkan kerajaan bertindak sewajarnya bagi menangani krisis iklim yang semakin mendesak,” kata Guterres dalam satu kenyataan.

MENTERI Perubahan Iklim dan Tenaga Australia merangkap Pengerusi Rundingan COP31, Chris Bowen (tengah), Presiden COP31 merangkap Menteri Alam Sekitar, Pembandaran dan Perubahan Iklim Turkiye, Murat Kurum (tiga dari kanan), serta para perwakilan sebelum satu sesi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Pusat Ekspo Antalya, Antalya, pada 22 November 2026. Foto AFP

Pengerusi rundingan COP31, Chris Bowen, yang gagal mencapai kata sepakat antara hampir 200 negara, mengakui beliau tidak dapat mengatasi perkara yang disifatkannya sebagai “perbezaan pendirian yang tidak dapat dirapatkan”.

“Malangnya, kami gagal mencapai persetujuan mengenai keputusan utama sidang kemuncak ini. Perkara itu amat mengecewakan,” kata Bowen, yang juga Menteri Iklim Australia, kepada sekumpulan besar wartawan.

Lebih 49 jam selepas sidang kemuncak itu sepatutnya berakhir, Presiden COP31 merangkap Menteri Alam Sekitar Turkiye, Murat Kurum, mengetuk tukul menandakan berakhirnya rundingan yang berlangsung berlarutan itu.

Desakan untuk pembaharuan

Bowen berkata sidang kemuncak itu berlangsung dalam “persekitaran geopolitik paling rumit dan tegang dalam ingatan”, ketika kenaikan harga tenaga serta kesan perang di Timur Tengah menyukarkan usaha mencapai kesepakatan.

Dalam keadaan tertekan untuk menunjukkan kemajuan selepas pelbagai bencana berkaitan perubahan iklim melanda Eropah hingga Nepal sepanjang tahun ini, Bowen berusaha mendapatkan satu “keputusan utama” yang menyeluruh bagi membuktikan negara-negara masih bersatu dalam menangani krisis berkenaan.

Bagaimanapun, rancangannya gagal apabila perbezaan pendirian berhubung bahan api fosil kembali mencetuskan pertikaian, dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Arab Saudi bertelagah mengenai kadar peralihan daripada penggunaan arang batu, minyak dan gas.

Rundingan terhenti apabila negara-negara pengeluar minyak menghalang sebarang penyebutan mengenai usaha menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat dalam perjanjian akhir.

MENTERI Iklim, Alam Sekitar, Tenaga dan Pengangkutan Ireland, Darragh O’Brien (tengah), dan Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) bagi Iklim, Sifar Bersih dan Pertumbuhan Bersih, Wopke Hoekstra (tengah kanan), bercakap kepada pihak media selepas meninggalkan sesi pleno Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (COP31) di Pusat Ekspo Antalya, Antalya, pada 22 November 2026. Foto AFP

“Kami tidak akan menyokong keputusan utama yang tidak menyebut langsung bahan api fosil, sedangkan bahan api fosil merupakan punca utama perubahan iklim,” kata Menteri Iklim Ireland, Darragh O’Brien, yang negaranya memegang jawatan presiden bergilir EU.

“Kami juga tidak akan menerima persidangan COP yang cuba mengaburi kesan sebenar penggunaan bahan api fosil.”

Panama, Vanuatu dan Kepulauan Marshall turut membantah. Apabila perjanjian itu gagal dimuktamadkan, COP31 mencatat rekod sebagai sidang kemuncak iklim paling lama berlangsung.

Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat dan aktivis iklim, Al Gore, menyifatkan tindakan segelintir negara pengeluar minyak yang mempunyai kuasa veto terhadap sebarang penyebutan bahan api fosil sebagai “keterlaluan”.

Proses COP “memerlukan pembaharuan besar”, kata Gore menerusi platform X, ketika kebanyakan negara berusaha “untuk terus bergerak ke hadapan dengan niat baik”.

Tidak mencapai sasaran

Keputusan itu mengimbau kembali kegagalan sidang kemuncak Copenhagen pada 2009 dan menimbulkan keraguan baharu terhadap keberkesanan diplomasi iklim.

“Jelas sekali, usaha hari ini tidak mencapai sasaran,” kata Ketua Iklim PBB, Simon Stiell, yang menyifatkan kemajuan sepanjang dua minggu rundingan di Antalya sebagai “terhad”.

“Dunia tidak mampu menghadapi kegagalan yang sama sekali lagi,” katanya.

Kecewa dengan kebuntuan itu, beberapa negara kini berusaha meneruskan tindakan di luar proses COP.

Kira-kira 60 negara menyertai persidangan pertama seumpamanya pada April lalu bagi membincangkan usaha menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat, manakala beberapa negara pada COP31 mengumumkan rancangan masing-masing untuk beralih daripada penggunaan arang batu, minyak dan gas.

Dalam usaha terakhir untuk mencapai kompromi, Turkiye dan Australia selaku tuan rumah bersama COP31 hanya mampu memasukkan rujukan secara tidak langsung mengenai bahan api fosil dalam teks perjanjian akhir.

Bagaimanapun, perjanjian itu turut menerima kritikan kerana mengekalkan gesaan untuk memperluas penggunaan teknologi pemerangkapan karbon, yang menelan kos tinggi dan diperjuangkan oleh industri bahan api fosil.

“Kami percaya bahawa perubahan iklim memerlukan semua penyelesaian dipertimbangkan,” kata Mohammad Ayoub, perunding iklim bagi Arab Saudi, sebuah negara pengeluar minyak utama.

Berikutan kritikan terhadap ketiadaan penyebutan bahan api fosil dalam perjanjian itu, negara tuan rumah bersama berusaha mendapatkan sokongan terhadap matlamat global untuk memperluas penggunaan tenaga elektrik dalam ekonomi dunia.

Mereka menyatakan bahawa peralihan kepada penggunaan tenaga elektrik dapat mengurangkan pelepasan gas yang memerangkap haba serta memperkukuh keselamatan tenaga. Bagaimanapun, sasaran itu akhirnya turut digugurkan bersama keseluruhan Perjanjian Antalya yang gagal dimuktamadkan.

Kekecewaan mendalam

Beberapa negara menyuarakan kekecewaan kerana peluang untuk memperkukuh sasaran Perjanjian Paris bagi mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius terlepas, sedangkan saintis menjangkakan sasaran itu akan dilepasi dalam tempoh beberapa tahun lagi berikutan kegagalan mencapai matlamat pengurangan pelepasan karbon.

Sidang kemuncak itu turut memperlihatkan perbezaan pendirian berhubung sains apabila pertikaian mengenai hasil kerja Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) turut dibawa ke meja rundingan.

“Kami amat kecewa dengan kandungan keputusan utama itu,” kata perunding iklim United Kingdom, Kate Hughes.

“Ia membawa kita ke belakang dari segi sains. Kandungannya sekadar memenuhi tahap persetujuan paling minimum, sedangkan keputusan itu sepatutnya mencerminkan cita-cita bersama yang lebih berani dalam tindakan menangani perubahan iklim.”

Seperti kebiasaannya, sidang kemuncak itu memperlihatkan jurang antara negara pencemar utama yang menjadi penyumbang kepada perubahan iklim dengan negara-negara kecil yang menanggung kesan paling besar akibat krisis berkenaan.

Negara-negara membangun turut menggesa supaya sasaran pembiayaan iklim sebanyak AS$120 bilion ditetapkan, namun perkara itu tidak dimasukkan dalam perjanjian yang gagal dimuktamadkan. – AFP