KUCHING, 22 November: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mengumumkan tujuh calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan pengerusinya, Chong Chieng Jen, kembali bertanding di Kota Sentosa untuk mencabar penyandang kerusi itu, Wilfred Yap Yau Sin daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Chong mengumumkan barisan calon itu pada majlis makan malam penggerakan jentera parti di sebuah restoran di sini, malam ini.
Sementara itu Michael Kong Feng Nian, yang bertanding di Kota Sentosa pada PRN ke-12, akan bertanding di Padungan.
Chong memenangi Kota Sentosa pada tiga PRN berturut-turut, iaitu pada 2006, 2011 dan 2016, sebelum berpindah ke Padungan pada 2021. Beliau memenangi kerusi itu selepas menewaskan calon SUPP, Dato Wee Hong Seng, yang juga Datuk Bandar Kuching Selatan.
Pada PRN yang sama, Kong tewas kepada Yap, sekali gus menyaksikan SUPP merampas Kota Sentosa daripada DAP.
Di Batu Lintang, DAP akan menampilkan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, yang dijangka berdepan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang, See Chee How yang dijangka bertanding atas tiket SUPP.
See memenangi Batu Lintang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2011 dan 2016 selepas DAP memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi berkenaan. Selepas dipecat daripada PKR, beliau bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada PRN 2021 dan mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 93 undi dalam saingan lima penjuru.
Violet Yong pula akan mempertahankan kerusi Pending yang disandangnya sejak 2006.
Di Batu Kitang, muka baharu Jordan Soo Tien Ren akan dicabar penyandang daripada SUPP, Dato Ir Lo Khere Chiang, manakala Sim Kiat Leng akan berdepan Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di Batu Kawah.
Di Opar, DAP menampilkan seorang lagi muka baharu iaitu Lim Nee Kon, untuk berdepan calon SUPP, Billy Sujang.
Senarai calon DAP yang diumumkan:
N.01 Opar — Lim Nee Kon
N.09 Padungan — Michael Kong Feng Nian
N.10 Pending — Violet Yong
N.11 Batu Lintang — Dr Kelvin Yii Lee Wuen
N.12 Kota Sentosa — Chong Chieng Jen
N.13 Batu Kitang — Jordan Soo Tien Ren
N.14 Batu Kawah — Sim Kiat Leng
Sebelum ini, Chong turut mengumumkan dua calon DAP di Sibu, iaitu Stanley Chiew bagi Bukit Assek dan Irene Wong bagi Pelawan.
Oleh Connie Chieng




