BINTULU, 22 November: Setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri yang perlu dikenal pasti serta dibimbing sejak peringkat pendidikan awal bagi membantu mereka membina keyakinan diri dan berkembang mengikut kebolehan masing-masing.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendekatan pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembentukan sahsiah, kemahiran sosial dan perkembangan personaliti kanak-kanak.
“Tugas kita bukan untuk menjadikan semua anak sama, tetapi membantu mereka mengenali dan mengembangkan potensi masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Kali Ke-24 Tadika Bestari 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, pendidikan prasekolah menyediakan ruang kepada kanak-kanak untuk mempelajari pelbagai kemahiran asas termasuk berkomunikasi, berkongsi, bekerjasama, berdikari dan membina hubungan dengan rakan sebaya.
Katanya, peranan guru amat penting dalam membentuk asas perkembangan tersebut menerusi bimbingan, kesabaran dan pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan setiap kanak-kanak.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan aktif dalam perkembangan pendidikan anak-anak dengan menyediakan masa, perhatian dan galakan secara berterusan.
Dalam pada itu, Johnny Pang berkata, sokongan kerajaan Sarawak terhadap pendidikan awal turut membantu memperluas peluang kanak-kanak mendapatkan pendidikan prasekolah.
Bagi 2026, seramai 58 murid Tadika Bestari menerima Bantuan Pendaftaran sebanyak RM100 seorang, manakala 43 murid turut menerima manfaat Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak dengan kadar sehingga RM1,000 seorang setahun.
Beliau berharap para murid Tadika Bestari akan terus bersemangat menimba ilmu apabila melangkah ke alam sekolah rendah serta tidak takut mencuba perkara baharu dalam usaha mencapai cita-cita masing-masing.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili; wakil Pengurus Tadika Bestari, Ustaz Kautsar Ali; Pengerusi PIBG Tadika Bestari, Mohd Nazareth Aripin dan Guru Besar Tadika Bestari, Sadah Hussin.
Oleh Carolyne Utih





