Tiong rayu Abang Johari bantu kekalkan Bawang Assan, Engkilili kepada PDP

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN PDP, Dato Sri Tiong King Sing berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di BCCK.

KUCHING, 22 November: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing merayu Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya membantu menyelesaikan pertindihan tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan Engkilili menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Tiong berkata, PDP berpendirian mahu mempertahankan kesemua lapan kerusi yang kini disandang wakil rakyat parti itu, termasuk Bawang Assan dan Engkilili yang turut menjadi perhatian parti komponen GPS lain.

“Yang Amat Berhormat Pengerusi GPS, mungkin ini bukan platform yang paling sesuai untuk saya membangkitkan perkara tersebut, tetapi saya tiada pilihan kerana sedang menghadapi tekanan yang amat besar daripada ahli-ahli parti PDP.

“Sebelum ini, PDP telah kehilangan tiga kerusi. Pada masa itu, kami tidak membangkitkan isu tersebut kerana mahu menjaga keharmonian dalam gabungan kita.

“Tetapi sekarang, ahli-ahli parti PDP amat bimbang mengenai kerusi Bawang Assan dan Engkilili. Mereka mengingatkan saya bahawa kedua-dua kerusi ini tidak sepatutnya dianggap sebagai kerusi tradisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Tiong berharap Abang Johari dapat membantu menyelesaikan pertindihan tuntutan berkenaan bagi membolehkan PDP mempertahankan kedua-dua kerusi itu, sekali gus memelihara perpaduan dalam gabungan GPS.

Dalam perkembangan sama, Tiong berkata beliau akan mengemukakan senarai calon PDP kepada Abang Johari pada Isnin seperti yang diminta.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pendekatan Abang Johari yang mengambil kira faktor usia calon, namun tidak mempunyai masalah sekiranya faktor berkenaan tidak lagi dijadikan pertimbangan.

Tiong menegaskan bahawa perbezaan pandangan berhubung pembahagian kerusi perlu diselesaikan secara matang berlandaskan prinsip keadilan, persefahaman dan perkongsian kuasa bagi memastikan GPS terus bersatu dalam menghadapi PRN Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini.

Untuk rekod, Bawang Assan dan Engkilili sebelum ini dikaitkan dengan SUPP dalam pembahagian kerusi GPS. Bagaimanapun, penyandang kedua-dua kerusi itu, Dato Sri Wong Soon Koh dan Dr Johnical Rayong Ngipa, kini merupakan anggota PDP selepas menyertai parti itu susulan pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2024.

Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, Wong memenangi kerusi Bawang Assan dengan majoriti 913 undi selepas memperoleh 5,952 undi, menewaskan calon GPS-SUPP, Robert Lau Hui Yew yang mendapat 5,039 undi.

Sementara itu, Johnical memenangi kerusi Engkilili dengan majoriti 1,191 undi selepas memperoleh 3,246 undi, mengatasi calon GPS-SUPP, Desmond Satem Sanjan yang meraih 2,055 undi.

Oleh Masrin Affirah