2,500 peserta meriahkan Farley Bintulu Riang Ria 2026 2.0

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming bersama tetamu jemputan lain menyertai aktiviti senamrobik bersama peserta bagi memeriahkan program Farley Bintulu Riang Ria 2026 2.0 di Parkir Farley, Medan Jaya, Bintulu, hari ini.

BINTULU, 22 November: Sekitar 2,500 peserta mengikuti program Farley Bintulu Riang Ria 2026 2.0 yang berlangsung hari ini, sekali gus memeriahkan penganjuran aktiviti rekreasi berteraskan kekeluargaan dan komuniti.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, program itu menyediakan platform kepada masyarakat, khususnya ibu bapa dan anak-anak, untuk meluangkan masa berkualiti menerusi pelbagai aktiviti bersama.

JOHNNY Pang Leong Ming bersama tetamu jemputan lain menyempurnakan pelepasan peserta larian santai sejauh 3.5 kilometer sempena program Farley Bintulu Riang Ria 2026 2.0 di Parkir Farley, Medan Jaya, Bintulu, hari ini.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menyertai aktiviti riadah yang menyihatkan, malah lebih penting, mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak, memperkukuh ikatan kekeluargaan serta mewujudkan suasana komuniti yang penuh kegembiraan dan kemesraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Farley Bintulu Riang Ria 2026 2.0 di Parkir Farley, Medan Jaya di sini, hari ini.

Program itu menampilkan larian santai sejauh 3.5 kilometer serta 10 permainan bertemakan kekeluargaan yang memberi peluang kepada peserta mengambil bahagian dalam aktiviti secara bersama.

Johnny Pang berkata, penganjuran aktiviti sedemikian juga membolehkan ibu bapa dan anak-anak mengetepikan seketika kesibukan kerja, persekolahan serta penggunaan telefon bimbit untuk menikmati masa bersama keluarga.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengutamakan keselamatan anak-anak sepanjang menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Dalam pada itu, beliau memuji komitmen Farley dalam melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong komuniti setempat di Bintulu dan Sarawak.

Katanya, sumbangan kepada masyarakat dan usaha membawa impak positif kepada komuniti merupakan antara aspek penting dalam tanggungjawab sesebuah syarikat, selain pencapaian perniagaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan seluruh warga kerja Farley serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Pasaraya Farley Eiyen Lau berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen Farley Bintulu dalam membina komuniti yang sihat, harmoni dan bersatu padu.

Menurutnya, program itu bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Kami mahu Farley menjadi tempat keluarga berkumpul, kanak-kanak menjalinkan persahabatan dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.

Ujar beliau, Farley bukan sekadar sebuah pusat membeli-belah, tetapi turut berperanan sebagai ruang komuniti untuk masyarakat berinteraksi dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Oleh Carolyne Utih