Banjir lapan kaki, 159 penghuni Rumah John Kara Kerangan terjejas

Facebook
WhatsApp
PASUKAN BOMBA....Menjalankan pemantauan banjir di Rumah John Kara Kerangan, Kapit, petang tadi.

KAPIT, 21 November: Seramai 159 penghuni Rumah John Kara Kerangan, Kapit terjejas selepas kediaman rumah panjang dua tingkat yang mempunyai 27 pintu itu dilanda banjir dengan paras air di tingkat bawah mencecah kira-kira lapan kaki, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pemindahan atau operasi menyelamat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kerana semua penghuni rumah panjang berkenaan berlindung di tingkat atas bangunan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, pihak bomba bersama agensi berkaitan turut menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada penghuni yang terjejas selain menjalankan pemantauan keadaan banjir di lokasi.

KEADAAN banjir di Rumah John Kara Kerangan, Kapit, petang tadi.

Katanya, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 1.30 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit digerakkan ke lokasi.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada 2.40 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 68 kilometer.

“Hasil penilaian awal mendapati keseluruhan tingkat bawah rumah panjang berkenaan ditenggelami air dengan anggaran kedalaman kira-kira lapan kaki,” menurut kenyataan itu.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Stephen Plen dengan kekuatan empat anggota menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.

Operasi turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah (SAO), Pengurusan Bencana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal sebelum operasi ditamatkan pada 3.07 petang.

Oleh Akun Giman