SIBU, 21 November: Keprihatinan terhadap kebajikan jiran dan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan mencerminkan semangat perpaduan serta sikap saling mengambil berat yang terus subur dalam komuniti di kawasan Paradom.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, perkara itu jelas dilihat menerusi lawatan dari rumah ke rumah yang dilakukannya bersama pasukan bagi menyantuni 13 keluarga di kawasan berkenaan hari ini.
Menurutnya, sepanjang lawatan itu, selain menyuarakan masalah sendiri, terdapat penduduk yang turut mengambil inisiatif mendapatkan bantuan bagi pihak jiran yang berdepan kesulitan.
“Antara perkara dibangkitkan termasuk permohonan pemasangan lampu jalan di persimpangan di hadapan sebuah rumah bagi meningkatkan pencahayaan pada waktu malam serta menjamin keselamatan pengguna laluan berkenaan,” ujarnya.
Dalam satu lagi kes, katanya, seorang penduduk memohon bantuan bagi pihak keluarga jirannya yang mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU), khususnya untuk mendapatkan bantuan kebajikan yang bersesuaian.
Kevin berkata, sikap penduduk yang prihatin terhadap kesusahan jiran dan saudara-mara itu amat dihargai kerana memperlihatkan semangat saling membantu dalam masyarakat.
“Pasukan kami akan berusaha membantu keluarga berkenaan meneliti keperluan mereka serta mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan mengikut kemampuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lau berkata, terdapat perkembangan positif berhubung permohonan membaiki sebuah jambatan kayu yang pernah dibantu dikemukakan sebelum ini.
Menurutnya, pegawai berkaitan baru-baru ini telah turun ke lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran, sekali gus memberi petunjuk bahawa permohonan berkenaan sedang melalui proses selanjutnya.
“Pasukan saya akan terus membuat susulan dan memantau perkembangan cadangan pembaikan jambatan itu bagi memastikan ia mendapat perhatian sewajarnya,” ujarnya lagi.
Lau menegaskan, pendekatan turun padang melalui lawatan dari rumah ke rumah penting bagi membolehkan pihaknya memahami sendiri keperluan penduduk, khususnya berkaitan kemudahan infrastruktur asas dan bantuan kebajikan.
“Pasukan kami terus membantu mengikut kemampuan, selain membawa setiap aduan kepada perhatian agensi dan pihak berkuasa berkaitan demi memastikan kebajikan masyarakat akar umbi terus terbela,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman




