1,420 peserta manfaatkan Program Bantuan Lesen B2

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Huang Tiong Sii melawat gerai pameran di Dewan Sentral Sarikei.

SARIKEI, 21 November: Seramai 1,420 peserta mendapat manfaat menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 bagi kawasan Parlimen Sarikei.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, program itu membuka peluang kepada masyarakat daripada pelbagai lapisan, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), belia dan warga emas untuk mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menanggung kos yang membebankan.

Katanya, pemilikan lesen motosikal bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang, malah membolehkan penerima bergerak dengan lebih yakin, berdikari dan memudahkan urusan harian.

“Kita memahami bahawa kos untuk mendapatkan lesen memandu bukanlah kecil, malah boleh menjadi beban kewangan kepada sesetengah keluarga.

“Terdapat dalam kalangan masyarakat yang terpaksa menangguhkan hasrat untuk mempunyai lesen memandu disebabkan faktor kewangan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen Sarikei di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.

TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii dan Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat bergambar bersama wakil penerima Lesen Memandu Kelas B2.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan peluang mendapatkan lesen memandu dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan masyarakat.

“Komitmen kita adalah jelas, iaitu memastikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di kawasan pedalaman, mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan lesen memandu yang sah pada kos yang minimum,” katanya.

Dalam pada itu, Huang mengingatkan peserta supaya menyertai kejayaan memperoleh lesen dengan tanggungjawab mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain.

Beliau turut menegaskan bahawa pemakaian topi keledar yang berkualiti dan betul merupakan antara langkah keselamatan penting bagi mengurangkan risiko kecederaan serius ketika berlaku kemalangan motosikal.

“Satu perkara yang sama sekali tidak boleh dikompromi ialah pemakaian topi keledar,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kajian keselamatan jalan raya yang dirujuk oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), pemakaian topi keledar yang betul mampu mengurangkan risiko kecederaan kepala sehingga 74 peratus dan risiko kematian sehingga 40 peratus.

TIMBALAN Pengarah JPJ Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat menyerahkan cenderamata kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii.

Sehubungan itu, beliau berharap semua penerima lesen menjadikan disiplin dan sikap bertanggungjawab sebagai amalan ketika menggunakan jalan raya.

“Maka, kepada semua penerima lesen pada hari ini, jadilah penunggang yang berdisiplin, berhemah dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Saya berharap saudara dan saudari bukan sahaja berjaya memiliki lesen memandu, tetapi juga menjadi generasi yang membudayakan keselamatan jalan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Huang turut menekankan kepentingan penyediaan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat, khususnya kemudahan lampu jalan bagi meningkatkan pencahayaan dan keselamatan pengguna pada waktu malam.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan projek pembangunan.

Antara projek yang diberi perhatian ialah pemasangan 140 unit lampu jalan di Jalan Kwong Ming/Minah dengan kos RM1.27 juta dan 168 unit lampu jalan di Jalan Meruton/Merudu bernilai RM1.52 juta.

TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat dan para penerima Lesen Memandu Kelas B2 di Dewan Sentral Sarikei.

Selain itu, katanya, sebanyak 70 unit lampu jalan bernilai RM460,000 telah siap dipasang di Jalan Hua Ee baru-baru ini.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga projek berkenaan melibatkan pemasangan 378 unit lampu jalan dengan jumlah peruntukan RM3.25 juta.

Menurutnya, pembangunan kemudahan tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat, khususnya kepada penunggang motosikal.

Huang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarikei bagi menyokong penganjuran aktiviti kelab berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPJ Sarawak, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, Akademi Memandu Ing Sdn. Bhd. serta rakan strategik atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat.

Oleh Earl Anek