Kompleks Komuniti Subis bernilai lebih RM6 juta bakal dibina secara berfasa

Facebook
WhatsApp
TINJAUAN... Datuk Rosey Yunus ketika mengadakan lawatan dan tinjauan tapak projek pembinaan Kompleks Komuniti Subis berdekatan Simpang Kampung Bungai hari ini.

BEKENU, 21 November: Projek pembinaan Kompleks Komuniti Subis yang telah mendapat kelulusan kerajaan bernilai lebih RM6 juta bakal menjadi kemudahan penting bagi menempatkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kompleks berkenaan dirancang mempunyai beberapa kemudahan termasuk pejabat agensi kerajaan, bilik khas untuk kegunaan Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK), ruang pejabat atau bilik persatuan NGO serta kemudahan taska atau tadika.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata demikian pada lawatan kerja meninjau kawasan tapak pembinaan Kompleks Komuniti Subis berdekatan Simpang Kampung Bungai, hari ini.

Katanya, reka bentuk dan susun atur bangunan tersebut masih dalam peringkat perancangan.

“Tapak projek itu telah dikenal pasti yang berdekatan dengan Simpang Kampung Bungai yang seluas lima ekar dan dijangka dapat mengurangkan risiko banjir serta kemudahan komuniti tidak terjejas.

“Pada asalnya projek berkenaan dirancang untuk dibina di kawasan Pejabat Daerah Subis baharu di seberang sungai, Kampung Rambai. Namun, mengambil kira faktor risiko banjir di kawasan tersebut, pihak berkenaan mengambil langkah awal untuk mencari tapak alternatif yang lebih tinggi dan selamat daripada ancaman banjir,” katanya.

TINJAUAN… Datuk Rosey Yunus ketika mengadakan lawatan dan tinjauan tapak projek pembinaan Kompleks Komuniti Subis berdekatan Simpang Kampung Bungai hari ini.

Beliau selaku penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menambah, keputusan memindahkan tapak projek itu dibuat berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini yang boleh mengakibatkan kerosakan terhadap fail, dokumen penting serta peralatan digital.

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan awal berjumlah lebih RM6 juta bagi pelaksanaan projek tersebut. Memandangkan jumlah berkenaan masih belum mencukupi untuk menyiapkan keseluruhan kompleks, pembangunan akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi fasa pertama dan fasa kedua.

“Perancangan lanjut akan dibincangkan bagi menentukan skop kerja yang mampu dilaksanakan menggunakan peruntukan sedia ada, manakala permohonan peruntukan tambahan akan dikemukakan bagi fasa seterusnya,” jelasnya lagi.

Justeru itu, pembinaan Kompleks Komuniti Subis itu merupakan projek yang dinantikan kerana bakal menyediakan kemudahan bersepadu untuk agensi kerajaan, NGO dan masyarakat setempat, sekali gus meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta aktiviti pembangunan komuniti di daerah berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Subis Ashard Samshu dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar dan Projek, Rohana Mohd Ali dan pihan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Oleh Adum Liu