SIMANGGANG, 21 November: Seramai 14 individu berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam lif di sebuah hotel, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.26 pagi itu, dua daripada mangsa dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum berjaya diselamatkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman.
Menurut BBP Sri Aman, sepasukan anggota bersama jentera bomba (FRT) dan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (EMRS) digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di lokasi, pasukan operasi mengesahkan seramai 14 mangsa terperangkap di dalam lif di aras bawah hotel berkenaan.
Anggota bomba yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat dengan membuka pintu lif menggunakan peralatan khas iaitu peralatan hidraulik khas (unit kuasa dan alat pengembang).
Usaha berkenaan berjaya membuka pintu lif sebelum kesemua 14 mangsa dikeluarkan dengan selamat.
Bagaimanapun, dua mangsa yang mengalami sesak nafas diberikan perhatian segera dan dihantar ke Hospital Sri Aman menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat diketuai Edwin Jonani dengan bantuan empat kakitangan hotel.
Selepas memastikan semua mangsa berjaya dikeluarkan dan keadaan di lokasi terkawal serta selamat, pasukan operasi menamatkan operasi tersebut.
Oleh Adi Safarman



