KUALA LUMPUR: AmBank Group telah memperkenalkan kad ‘The Metal’ yang dibuat secara eksklusif untuk pelanggan perbankan ‘Signature Priority’ bersempena dengan penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2021.
Pengarah Urusan Perbankan Peruncitan, Aaron Loo berkata, kad The Metal ini menawarkan keistimewaan dan ciri-ciri yang tiada tandingan yang mampu memenuhi keperluan kewangan dan gaya hidup, serta menyerlahkan pengalaman yang akan meningkatkan gaya hidup pelanggan perbankan ‘Signature Priority’ AmBank.
“Pengenalan kad ‘The Metal’ ini adalah sebagai mengiktiraf pelanggan yang paling kami hargai dan memastikan keperluan unik mereka dipenuhi,” katanya pada majlis pelancaran kad bersempena acara malam fesyen KLFW di sini, baru-baru ini.
Bank itu berkata, sepanjang tempoh KLFW 2021, pemegang kad Ambank boleh menikmati tawaran menarik termasuk diskaun 15 peratus untuk koleksi fesyen yang dipamerkan, bersama-sama dengan koleksi terkini daripada pelbagai pereka tempatan yang akan dilancarkan secara bulanan apabila gerai-gerai KLFW mula dibuka mulai Januari 2022 dan seterusnya.
AmBank telah menyokong Industri Fesyen Malaysia di KLFW 2021 yang berlangsung selama lima hari bermula 3 November di Pavilion Kuala Lumpur sebagai Rakan Perbankan Rasmi.
Acara ini menampilkan reka bentuk dan koleksi terkini daripada lebih 48 pereka tempatan sepanjang lima pertunjukan peragaan harian.- Bernama