GKCDA laksana 531 projek pembangunan bernilai RM1.5 bilion

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian. Foto Ukas

SERIAN, 21 November: Sebanyak 531 projek pembangunan dengan peruntukan keseluruhan RM1.5 bilion diselaraskan Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) dari 2023 hingga 15 Oktober 2026, meliputi sektor infrastruktur, sosial dan ekonomi.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan manfaat pembangunan turut dinikmati penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 412 projek melibatkan sektor infrastruktur dengan peruntukan RM973.6 juta.

“Projek berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan naik taraf jalan raya, kemudahan asas serta infrastruktur sokongan yang menjadi asas kepada pembangunan kawasan.

“Selain itu, sebanyak 89 projek dalam sektor sosial menerima peruntukan RM177.8 juta dengan penekanan kepada penyediaan kemudahan masyarakat, kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosial bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian, hari ini.

Bagi sektor ekonomi pula, sebanyak 26 projek dilaksanakan dengan peruntukan RM332.1 juta bagi merangsang aktiviti ekonomi, memperkukuh peluang perniagaan serta membuka ruang kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan.

“Manakala, empat projek dalam kategori lain menerima peruntukan RM7.3 juta.

“Angka ini bukan sekadar statistik pembangunan. Ia menggambarkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas, meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta memperkukuh ekonomi rakyat,” jelasnya.

Tambah Roland, GKCDA yang ditubuhkan pada 2022 berperanan menyelaras dan mempercepat pelaksanaan pembangunan di kawasan liputannya, termasuk Bahagian Serian.

“Antara projek pembangunan di Bahagian Serian ialah pembinaan Lebuh Raya Serian-Gedong-Samarahan sepanjang 18.33 kilometer dengan kos keseluruhan RM860 juta.

“Daripada jumlah itu, fasa pertama dari Simpang Rayang ke Tanah Puteh sepanjang 9.79 kilometer melibatkan kos RM380 juta dan terletak di Bahagian Serian.

“Projek berkenaan bakal menyediakan jalan empat lorong, laluan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) serta laluan basikal bagi menghubungkan Serian, Gedong dan Samarahan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata projek naik taraf Jalan Padawan Fasa 1 sepanjang kira-kira 14.9 kilometer, dari Simpang Tapah ke Teng Bukap, Siburan melibatkan kos RM73.9 juta.

“Turut dilaksanakan ialah projek naik taraf Jalan Padawan Link dari Kampung Semeru ke Kampung Kuhom, Tebedu bernilai RM95 juta yang memberi manfaat kepada sembilan kampung di sepanjang laluan berkenaan.

“Dalam perkembangan lain, projek pembinaan infrastruktur utama Bandar Baharu Serian bernilai RM28 juta telah siap pada 7 Oktober 2026 selepas dimulakan pada 13 November 2023.

“Sementara itu, projek pembinaan Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 2 sepanjang 6.6 kilometer dengan kos RM48 juta turut menjadi antara usaha memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan akses penduduk di Daerah Tebedu dan Daerah Kecil Padawan,” ujarnya.

Keseluruhan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menyelaras pembangunan di Bahagian Serian bagi memastikan kemudahan infrastruktur, sosial dan ekonomi dapat diperluas kepada masyarakat setempat.

Oleh Masrin Affirah