BRASÍLIA, Brazil, 21 November: Ribut kuat dengan kelajuan angin melebihi 100 kilometer sejam mengorbankan tiga orang dan memusnahkan kira-kira 5,000 rumah di selatan Brazil, ketika pihak berkuasa bergegas menyelamatkan mangsa yang cedera serta mencari kemungkinan mangsa lain di sebalik runtuhan.
Hujan lebat dan angin kencang melanda Tupancireta pada awal pagi Jumaat, menyebabkan bangunan serta kira-kira 100 batang pokok tumbang di kawasan perbandaran yang mempunyai kira-kira 20,000 penduduk itu.
“Ini sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini, seperti babak dalam filem,” kata Datuk Bandar Tupancireta, Gustavo Herter, kepada media tempatan.

“Hospital kami terhalang oleh pokok-pokok di sekelilingnya, manakala jalan masuk ke kawasan perbandaran turut terhalang akibat pokok tumbang. Bandar ini musnah,” katanya.
Bumbung hospital itu turut rosak dan 11 pesakit terpaksa dipindahkan.
Herter berkata, bandar berkenaan terputus bekalan elektrik dan air selepas ribut melanda kira-kira 3.00 pagi dan berlarutan kurang sejam.
Menurut kerajaan negeri Rio Grande do Sul, lokasi Tupancireta, tiga orang ditemukan maut.
Sebanyak 32 kawasan perbandaran lain turut melaporkan kerosakan.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva mengarahkan pasukan kecemasan dihantar ke kawasan berkenaan susulan kejadian itu.
“Kami dimaklumkan terdapat satu majlis di kawasan perbandaran itu dan bumbung bangunan berkenaan akhirnya runtuh,” kata Penyelaras Pertahanan Awam negeri, Luciano Boeira, kepada Radio Gaucha.
Ahli meteorologi Brazil berkata, kelajuan angin ketika ribut itu mencapai 114 kilometer sejam.
Pihak Pertahanan Awam menyifatkan ribut berkenaan sebagai “supercell”, iaitu sistem ribut yang sering mendahului kejadian puting beliung dan dicirikan oleh arus udara menaik yang kuat.
Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan puting beliung melanda bandar berkenaan.
Pegawai kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira AS$330,000 dalam mata wang tempatan bagi membantu usaha menangani bencana itu.
Selatan Brazil kerap dilanda puting beliung. – AFP




