RMK13 lulus pembinaan klinik kesihatan baharu di Mukah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib ketika ditemui media semasa sesi sidang media berlangsung. Foto Adibfahmy.

MUKAH: Pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Parlimen Mukah (P.213) telah diluluskan menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi antara usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperkukuh kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pihak kementerian kini sedang meneliti keperluan klinik berkenaan, termasuk jenis perkhidmatan kesihatan, peralatan perubatan serta saiz dan kapasiti kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan penduduk setempat.

“Aspek berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan klinik yang dibina mampu menampung keperluan semasa.

“Selain itu, kita perlu mengambil kira pertambahan jumlah penduduk yang memerlukan kapasiti perkhidmatan mengikut kadar pertumbuhan penduduk dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual para media semasa sesi sidang media bertempat di Dewan Kampung Penat Oya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha turut dilakukan bagi mengetengahkan kepentingan Hospital Mukah dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk, khususnya dari segi rawatan pakar selain kemudahan yang terdapat di Hospital Sibu dan Hospital Bintulu.

Bagaimanapun, katanya, antara cabaran yang turut dihadapi KKM ketika ini ialah kekurangan anggota sumber manusia yang memerlukan penelitian lanjut bagi mengenal pasti keperluan sebenar mengikut kawasan.

“Pemahaman lebih terperinci mengenai keadaan dan keperluan setiap kawasan penting bagi memastikan perancangan serta pengagihan sumber kesihatan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan.

“Sebagai contoh, ada kawasan yang mempunyai masalah tuberkulosis (tibi), manakala terdapat kawasan lain yang tidak berdepan masalah sama.

“Jadi, kita perlu membuat penilaian untuk mengenal pasti kawasan yang lebih memerlukan perhatian terlebih dahulu,” katanya lagi. 

Oleh Adibfahmy