BAKELALAN: Kerajaan GPS pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg akan terus meletakkan suara rakyat dalam menilai perlaksanaan projek di kawasan pendalaman.
Sehubungan itu adalah penting kepada agensi pelaksana dan pihak juru runding atau konsultan mengadakan pertemuan dengan masyarakat kampung mahupun kawasan untuk merangka spesifikasi dan impak projek kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menjelaskan kepentingan pihak konsultan bagi merujuk dan bertemu dengan pihak penduduk kampung mahupun kawasan dalam merangka projek pembangunan yang diluluskan kerajaan.
“Kita tidak harus mengenepikan ‘local knowledge’ atau pengetahuan masyarakat setempat sebelum merangka pembangunan sesebuah projek.
Ini bagi memastikan projek dapat memberi manfaat yang dihasratkan. Lagipun masyarakat setempat lebih tahu berkenaan kelebihan dan kekurangan dikawasan mereka,” ujarnya pada sesi lawatan kerja ke Kampung Long Semadoh dan Long Sukang di Bakelalan baru-baru ini.
Lawatan kerja tiga hari ke kawasan tanah tinggi Bakelalan turut digunakan Awang Tengah meninjau perlaksanaan pembinaan jalan Ba’kelalan ke Bario dan sesi bertemu ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kampung bagi menerangkan perlaksanaan projek di kawasan mereka oleh kerajaan GPS.
Menyentuh lanjut beliau mahu pihak pelaksana dan konsultan untuk turun padang bagi mendapatkan input sebenar berbagai isu bagi perlaksanaan projek bekalan air luar bandar di kawasan Ba’kelalan.
Seterusnya Awang Tengah mahu rakyat sedar bahawa hanya GPS yang mampu membawa pembangunan di seluruh pelusuk Sarawak.
Turut sama dalam lawatan kerja berkenaan ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Paulus Palu Gumbang selaku penyandang kerusi DUN Batu Danau dan kenamaan lainnya.
Rombongan telah bermalam selama dua malam di Ba’kelalan dan Long Semadoh 00 siri lawatan kerja tiga hari itu.
Awang Tengah juga melihat keperluan bagi pusat memproses garam gunung di Kampung Buduk Bui Ba’kelalan dan melihat tapak Rehat dan Rawat di puncak tertinggi di Long Semadoh yang memiliki pemandangan cantik iaitu di Demaring Long Semadoh.
Oleh ADENG EDRUS