LUBOK ANTU, 20 November: Sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, semalam.
Operasi berkenaan turut menyaksikan pemeriksaan terhadap 169 kenderaan pelbagai jenis serta 190 individu bagi memastikan pematuhan undang-undang dan membendung kegiatan jenayah.
Operasi yang melibatkan kekuatan seramai 21 anggota polis itu diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit.
Pasukan operasi terdiri daripada seorang pegawai kanan polis dan 20 pegawai rendah polis daripada pelbagai pangkat serta cawangan.
Operasi tersebut dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah indeks, mencegah serta membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan tahap penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiat pelaksanaan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, langkah penguatkuasaan berterusan itu penting bagi memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam suasana selamat dan sejahtera.
“IPD Lubok Antu akan terus melaksanakan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di Daerah Lubok Antu sentiasa terjamin,” tegasnya.
Sehubungan itu, orang ramai turut diseru supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan ketika menggunakan jalan raya.
Masyarakat juga diminta memberikan kerjasama kepada pihak polis serta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu usaha membanteras jenayah.
Operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan IPD Lubok Antu dalam memperkukuh kawalan keselamatan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mematuhi undang-undang.
Oleh Adi Safarman





