BINTULU,19 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming masih belum menerima pengesahan sama ada beliau akan dipilih semula sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Johnny Pang yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu mengesahkan borang pencalonan bagi pilihan raya berkenaan telah dibeli kira-kira seminggu lalu.
“Tanjong Batu sememangnya sebuah kawasan yang mencabar.
“Sejak hari pertama saya dipilih, pasukan kami terus bekerja dan berusaha,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat N68 Tanjong Batu, Pusat Komersial Bintulu Sentral di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan mengenai calon yang akan ditampilkan GPS masih menunggu pengumuman rasmi Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, GPS akan mempertahankan kerusi Tanjong Batu dan segala persiapan pilihan raya akan dilaksanakan mengikut ketetapan kepimpinan gabungan itu.
Pada masa sama, Johnny Pang memaklumkan SUPP Cawangan Bintulu telah mengaktifkan bilik gerakan pilihan raya sebagai persiapan awal menghadapi PRN berkenaan.
Mengulas cabaran di Tanjong Batu, beliau berkata sejak dipilih pada 2021, beliau bersama pasukan khidmatnya terus memberi tumpuan kepada keperluan penduduk, termasuk membuat susulan terhadap aduan serta mengusahakan pembangunan setempat.
Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan sepanjang lima tahun lalu bagi menangani masalah harian penduduk, khususnya berkaitan kemudahan komuniti dan keperluan setempat.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat beberapa isu pembangunan yang memerlukan tindakan susulan berterusan serta perancangan jangka panjang bagi memastikan keperluan penduduk terus diberi perhatian.
Oleh Carolyne Utih




