BINTULU, 19 November: Pendidikan dan amalan menjaga alam sekitar perlu diterapkan sejak kecil, bermula dari rumah bagi membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan kelestarian sungai.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi berkata, pengurusan sisa domestik secara teratur, termasuk pengasingan sampah dan amalan kitar semula, mampu membantu mengurangkan pencemaran sumber air.
Menurutnya, penduduk juga perlu mengamalkan penjimatan air serta memastikan longkang di kawasan kediaman sentiasa bersih dan tidak tersumbat.
“Buat semua penduduk Sungai Plan, mari kita sama-sama amalkan jimat air, pastikan longkang sentiasa bersih dan tidak tersumbat, serta asingkan sampah di rumah.
“Kalau anak-anak sudah dilatih dari kecil, mereka akan lebih menghargai alam pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penangguhan Program Kesedaran Bersama Komuniti di bawah inisiatif River Recovery Sungai Plan 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Plan di sini, hari ini.

Majang turut menggalakkan masyarakat mengamalkan konsep 5R yang merangkumi usaha mengurangkan penggunaan barangan tidak mesra alam, menggunakan semula barangan yang masih boleh dipakai dan mengitar semula bahan terpakai seperti kertas, plastik, kaca serta logam.
Menurutnya, usaha memelihara sungai tidak boleh bergantung kepada kerajaan atau pihak industri semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat setempat.
Beliau berkata, penjagaan kawasan tadahan sungai dan kawalan terhadap aktiviti yang berpotensi mencemarkan sumber air juga penting bagi memastikan ekosistem sungai terus terpelihara.
Dalam pada itu, projek River Recovery Sungai Plan yang berlangsung dari 2024 hingga 2027 merupakan kerjasama Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Projek itu memberi tumpuan kepada pemantauan kualiti air secara berkala, penghijauan kawasan sungai serta pelaksanaan kempen kesedaran dalam kalangan komuniti dan industri.
Pada Oktober lepas, sebanyak 1,000 anak pokok turut ditanam di sepanjang tebing Sungai Plan sebagai sebahagian usaha memulihkan ekosistem sungai berkenaan.
Oleh Carolyne Utih




