KUCHING, 19 November: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melalui Pejabat Zon 2 memperkukuh keupayaan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam menghadapi operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerusi perkongsian kepakaran serta latihan intensif selama lima hari bersama Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching.
Menurut kenyataan Pejabat Zon 2, JBPM Sarawak, program Latihan Dalam Perkhidmatan itu merupakan hasil kolaborasi antara Pejabat Zon 2 JBPM Sarawak dan PULAPOL Kuching dengan penglibatan pegawai serta anggota bomba sebagai tenaga pengajar.
Latihan berkenaan memberi tumpuan kepada pemindahan ilmu, kemahiran teknikal dan pengalaman operasi SAR kepada peserta yang terdiri daripada jurulatih PGA PULAPOL Kuching.
Sepanjang kursus itu, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek teori dan praktikal termasuk pengurusan operasi SAR, teknik pencarian, keselamatan pasukan penyelamat, pengendalian mangsa serta penggunaan peralatan menyelamat.
Latihan turut merangkumi penyelarasan operasi berdasarkan prinsip Sistem Pengurusan Insiden (ICS) bagi memastikan setiap operasi dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, teratur dan berkesan.
Selain meningkatkan kompetensi peserta, program itu turut menekankan aspek kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan, pengurusan risiko serta kepentingan komunikasi dan koordinasi berkesan ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Perkongsian kepakaran itu diharap dapat memperkukuh keupayaan jurulatih PGA PULAPOL Kuching, sekali gus membolehkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh disalurkan kepada anggota Pasukan Gerakan Am menerusi latihan serta pembangunan kompetensi berterusan.
Kerjasama antara JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memperlihatkan komitmen kedua-dua agensi dalam memperkukuh hubungan profesional, perkongsian ilmu dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan, khususnya bagi menghadapi operasi SAR yang mencabar serta memerlukan kerjasama pelbagai agensi.
Oleh Adi Safarman




