BEKENU, 19 November: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Subis bakal melakar satu lagi perkembangan penting dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat setempat menerusi majlis perasmiannya yang dijadualkan berlangsung esok.
Majlis perasmian itu akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, bertempat di perkarangan bangunan lama Pejabat Daerah Subis, pada pagi esok.
Penganjuran majlis itu turut diserikan dengan Program Outreach Santuni Komuniti (POSKOM) yang bertujuan mendekatkan perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak kepada masyarakat, khususnya penduduk di Daerah Subis.
Menerusi program berkenaan, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat berkaitan pelbagai bentuk bantuan kebajikan yang disediakan oleh jabatan berkenaan.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk bantuan alat tiruan dan sokongan, bantuan khas pesakit buah pinggang, bantuan perubatan, Kebajikan Gold Card (KGC), Senior Citizen Health Benefit (SCHB) serta bantuan ihsan kematian.
Lokasi Pejabat Kebajikan Masyarakat ini adalah merupakan bangunan lama Pejabat Daerah Subis yang bersebelahan dengan Klinik Kesihatan Bekenu.
Justeru itu, dengan adanya pejabat ini akan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kemudahan dan bantuan kebajikan yang tersedia, selain memudahkan penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan jabatan tanpa perlu menghadapi kesukaran mendapatkan maklumat.
Oleh Adum Liu



