KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan dunia memandangkan Malaysia merupakan antara 17 buah negara yang dikenali sebagai negara megadiversiti kerana kekayaan dan kepelbagaian flora dan fauna.
Menteri MOTAC, Dato Sri Nancy Shukri berkata, Kementerian MOTAC telah menggubal Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang merupakan agenda transformasi yang menumpukan pada usaha-usaha meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama dan pelaburan, memperkasa masyarakat setempat serta mengukuhkan daya tahan dan kemampanan industri pelancongan negara.
“Justeru, tumpuan akan diberikan kepada pelancongan lestari dan bagi tujuan tersebut, segmen ekopelancongan merupakan fokus utama MOTAC terutamanya dalam merancakkan semula industri pelancongan selaras dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP) 2.0 (2020 –2030).
“NEP ini merangkumi strategi-strategi dan pelan tindakan bagi memastikan kelestarian produk ekopelancongan negara kekal mampan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Mordi Bimol pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat di sini, semalam.
Program Pengalaman Homestay di Sarawak jana lebih 1.2 juta tahun lepas
Sementara itu, Nancy memberitahu, MOTAC telah mengenalpasti sembilan kluster ekopelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Kesemua kluster ini merangkumi penglibatan 676 pengusaha inap desa di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia yang berdaftar dengan MOTAC.
“Ia melibatkan 50 buah kampung dan antara homestay itu ialah Kampung Teluk Melano, Kampung Bako, Rumah Panjang Bawang Assan, Kampung Sungai Asap, Kampung Senau, Kampung Darul Islam Belimbing dan di Kampung Krokong dan Kampung Atas.
“Pada tahun 2020, pendapatan yang diperolehi menerusi program ini di Sarawak adalah melebihi RM1.2 juta, dengan kehadiran hampir 9,700 pengunjung.
“Insya Allah, dengan pembukaan semula aktiviti pelancongan domestik dan kebenaran rentas negeri sekarang, kita berharap pengusaha program homestay ini akan kembali menjana pendapatan yang baik,” jelasnya.
Mengulas mengenai peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi segmen ekopelancongan di Sarawak, Nancy memaklumkan sejumlah RM8.002 juta telah diperuntukkan di bawah Bajet Pembangunan MOTAC bagi membiayai 12 projek di negeri Sarawak.
“Tiga daripada projek tersebut termasuklah projek-projek ekopelancongan seperti peningkatan Kemudahan Pelancongan Lumpur Berbuak di Meritam, Limbang, Projek Pembangunan Ekopelancongan di Taman Negara Kuching Wetland (KWNP), Kuching.
“Selain itu, Pembangunan Kemudahan Ecotourism di Taman Negara Santubong, Kuching,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA