Lelaki 44 tahun ditahan kes pecah amanah libat kerugian RM44,000 di Kabong

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan kerugian sebanyak RM44,000 di Kabong. Foto: IPD Saratok

SARATOK, 19 November: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan polis di sebuah premis makanan di Jalan Masjid Lama, Sarikei, semalam bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan kerugian sebanyak RM44,000 di Kabong.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok kira-kira 5.23 petang.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan di sebuah premis Jalan Masjid Lama, Sarikei hasil tindakan susulan siasatan berhubung laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kabong.

Menurutnya, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pecah amanah yang disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

“Hasil pemeriksaan dan tindakan pihak polis telah membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun di sebuah premis makanan di Sarikei. 

“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Saratok untuk tindakan lanjut bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan awal mendapati kes berkenaan dipercayai melibatkan pembayaran gaji pekerja yang tidak disalurkan oleh subkontraktor yang dilantik selama tiga bulan.

Kes tersebut membabitkan jumlah kerugian dianggarkan RM44,000.

Penahanan itu dilakukan susulan laporan polis Kabong/856/2026 dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, berkaitan pecah amanah jenayah oleh pekerja atau individu yang diamanahkan dengan harta.

Polis turut mengesahkan tindakan tangkapan telah dilaksanakan dan kes berkenaan kini berstatus selesai.

Oleh Adi Safarman