BINTANGOR, 19 November: Tindakan seorang lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan sebelum dipercayai melarikan beg pinggang milik wanita warga emas di sebuah kedai di Jalan Mahkamah, akhirnya membawa kepada penahanannya oleh polis pagi tadi.
Suspek tempatan berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 11.00 pagi, dua hari selepas kejadian kecurian membabitkan wang tunai dan barang kemas milik wanita berusia 62 tahun tersebut dilaporkan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang diketuai Inspektor Arnold Lee.
Katanya, suspek berjaya dikesan di kawasan tepi Jalan Mahkamah hasil tindakan risikan dan operasi mengesan suspek (Op Kesan) yang dijalankan selepas laporan polis diterima pada 17 November lalu.
“Hasil tindakan risikan serta operasi mengesan suspek (Op Kesan), pihak polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki berusia 23 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tansli berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek dipercayai mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.
“Suspek memaklumkan bahawa dia telah memasuki premis berkenaan seorang diri dengan berpura-pura ingin membeli barangan.
“Suspek kemudian mengambil kesempatan apabila melihat beg pinggang milik pengadu diletakkan di atas meja dan bertindak mengambil beg tersebut ketika pengadu sedang mengambil barangan yang diminta.
“Suspek seterusnya melarikan diri menuju ke sebuah kereta yang dinaiki rakannya,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal turut mendapati suspek memaklumkan bahawa rakannya hanya menunggu di dalam kereta dan tidak memasuki premis tersebut.
“Suspek telah dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan siasatan lanjut dan akan dibawa ke Mahkamah pada 20 November 2026 (esok) bagi permohonan reman.
“Saya ingin menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiatkan usaha mengesan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.
Terdahulu, seorang wanita warga emas berusia 62 tahun mengalami kerugian kira-kira RM11,000 selepas beg pinggang miliknya dipercayai dicuri seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan di sebuah kedai runcit di Jalan Mahkamah.
Oleh Earl Anek




