Rakyat disaran kemas kini telefon bagi menerima amaran kecemasan EWS

Facebook
WhatsApp
SESI taklimat MCMC bersama Ketua-Ketua Pengarang dan wakil media berhubung pelaksanaan Sistem Amaran Awal (EWS) pada 19 November 2026.

CYBERJAYA, 19 November: Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka bersedia menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disampaikan secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi dikenal pasti.

Sistem itu tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus.

Sebagai panduan awal, keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir, adalah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, telefon Android dengan sistem operasi Android 12 atau versi terkini serta telefon Huawei yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini.

UJIAN teknikal dalaman Sistem Amaran Awal (EWS) dijalankan bersama Ketua-Ketua Pengarang dan wakil media.

MCMC turut menyarankan pengguna memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia untuk peranti masing-masing, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC hari ini mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.

Sesi itu turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC di sini.

MCMC menjelaskan bahawa ujian pada 19 November itu merupakan ujian teknikal dalaman bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas.

Ujian pada skala lebih luas akan dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Kerjasama itu bertujuan memperkukuh keupayaan negara dalam menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.

Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.

EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.