SIBU, 19 November: Isu dahan pokok yang menghalang lampu jalan dan masalah air bertakung ketika hujan antara aduan penduduk di sepanjang Jalan Upper Nang Chong, kawasan Tanjung Kunyit, yang memerlukan perhatian pihak berkuasa.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, aspek keselamatan jalan raya dan sistem perparitan yang sempurna penting bagi memastikan keselesaan serta keselamatan penduduk setempat.
“Setiap aduan masyarakat perlu diberi perhatian tanpa mengira skala permasalahan kerana isu kecil yang tidak ditangani berpotensi menjejaskan kehidupan harian penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan komuniti di kawasan berkenaan hari ini, yang menyaksikan pasukannya mengunjungi 22 rumah bagi mendengar sendiri masalah dan keperluan penduduk.
Menurut Lau, antara kebimbangan yang disuarakan ialah pokok yang tumbuh terlalu tinggi di beberapa bahagian jalan sehingga dahan menghalang pencahayaan lampu jalan dan menjejaskan penglihatan pengguna jalan raya, pada waktu malam.
“Keadaan itu turut dikhuatiri mengganggu kabel elektrik berhampiran, selain berpotensi mendatangkan risiko keselamatan ketika hujan lebat dan ribut petir,” katanya.

Susulan aduan tersebut, pasukannya mengambil gambar serta merekodkan lokasi terjejas sebelum mengemukakan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
Lau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan perkara itu bagi memastikan aduan penduduk mendapat perhatian sewajarnya.
Selain itu, penduduk turut membangkitkan masalah air bertakung di beberapa bahagian jalan ketika hujan sehingga menyukarkan pergerakan harian.
Mereka berharap pihak berkuasa dapat meneliti keadaan jalan raya dan sistem perparitan sedia ada, termasuk kemungkinan menaikkan aras jalan di lokasi tertentu bagi mengurangkan masalah berkenaan.
Katanya, pendekatan turun padang dan mendengar sendiri pandangan penduduk akan terus menjadi keutamaan pasukannya dalam mengenal pasti isu yang memerlukan tindakan.
Beliau turut menghargai kerjasama dan sambutan penduduk yang sudi berkongsi pandangan serta cadangan bagi membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran kehidupan komuniti setempat.
Oleh Akun Giman




