ASSAR buka kaunter perkhidmatan di UTC Miri 23 hingga 27 November

Facebook
WhatsApp
AMANAH Saham Sarawak (ASSAR) akan membuka kaunter perkhidmatan di Pusat Service Sarawak, UTC Miri dari 23 hingga 27 November ini, bermula 8.00 pagi hingga 7.00 malam bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan menguruskan pelbagai urusan pelaburan.

MIRI, 19 November: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) akan membuka kaunter perkhidmatan di Pusat Service Sarawak, UTC Miri dari 23 hingga 27 November ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat serta menguruskan pelaburan.

Menurut hantaran di Facebook ASSAR, kaunter berkenaan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 7.00 malam sepanjang tempoh lima hari berkenaan, merangkumi pelbagai perkhidmatan berkaitan pelaburan ASSAR.

Katanya, antara urusan yang boleh dilakukan termasuk pertanyaan mengenai pelaburan, pembukaan akaun pelaburan, penambahan dan pengeluaran pelaburan serta semakan baki akaun.

Selain itu, kaunter berkenaan turut menyediakan perkhidmatan tuntutan kematian pemegang unit dan pengemaskinian maklumat pelabur.

“Menerusi inisiatif itu, orang ramai khususnya pelabur ASSAR di Miri berpeluang mendapatkan khidmat  serta bantuan secara terus daripada petugas ASSAR tanpa perlu berurusan melalui saluran lain,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan menerusi laman sesawang rasmi ASSAR di www.assar.com.my/contact/enquiry.