LAWAS, 19 November: Usaha pembangunan di Lawas akan diteruskan selepas kerajaan baharu memperoleh mandat daripada rakyat Sarawak susulan kejayaan menyiapkan Jambatan Ikonik Bandar Lawas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini, beliau tidak dapat meluluskan sebarang projek baharu berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, beliau bersama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini berada dalam tempoh sementara atau sementara menunggu mandat baharu daripada rakyat.
Sehubungan itu, cadangan pembinaan fasa lanjutan tebingan di sekitar Jambatan Bandar Lawas berpotensi direalisasikan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi mandat semula untuk mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (DUN) Sarawak ke-13.

“Saya bersetuju dengan cadangan Datuk Amar Awang Tengah, namun pelaksanaannya tertakluk kepada satu syarat. Saya tidak dapat meluluskannya hari ini kerana masih belum mempunyai kuasa dan mandat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Bandar Lawas di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, mandat baharu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membolehkan gabungan itu meneruskan agenda pembangunan di Lawas khususnya dan seluruh Sarawak amnya.
Beliau berkata, pembangunan tebingan itu penting bagi melengkapkan landskap sekitar jambatan berkenaan, sekali gus menyokong usaha memperkembangkan sektor pelancongan di daerah itu.
“Jika jambatan itu indah tetapi kawasan di bawahnya tidak terurus dan kurang menarik, keadaan itu akan menjejaskan keindahan keseluruhan landskapnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Jambatan Ikonik Bandar Lawas yang mempunyai reka bentuk unik dan menarik, seumpama jambatan di Eropah, turut menampilkan elemen budaya serta mencerminkan latar belakang masyarakat Sarawak yang mesra dan hidup dalam suasana harmoni.
Abang Johari berkata, usaha menarik lebih ramai pelancong dan pelabur ke Sarawak memerlukan penawaran tarikan yang menarik serta unik, seperti yang ditampilkan menerusi Jambatan Ikonik Bandar Lawas.
Pada masa sama, Abang Johari turut menggambarkan Lawas sebagai daerah yang mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam sektor perdagangan rentas sempadan dan pelancongan, selain menjadi penghubung yang mempererat hubungan persahabatan dengan negara jiran, Brunei Darussalam.
Oleh Adeng Edrus




