Kereta sorong bayi dibenarkan di kawasan tertentu Masjidil Haram

Facebook
WhatsApp
PENGGUNAAN kereta sorong bayi dibenarkan di kawasan tertentu Masjidil Haram melalui pintu masuk dan laluan yang ditetapkan bagi memudahkan pergerakan keluarga serta menjaga keselamatan jemaah dan pengunjung.

MAKKAH, 19 November: Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi membenarkan penggunaan kereta sorong bayi di kawasan tertentu Masjidil Haram melalui pintu masuk dan laluan yang ditetapkan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan keluarga, selain memudahkan urusan ibadah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Kawasan yang dibenarkan termasuk tingkat satu, bumbung dan kawasan Perluasan Ketiga Saudi, manakala laluan masuk yang ditetapkan ialah Jambatan Ajyad, Lif Raja Fahd, Lif Al-Arqam, pintu masuk Jambatan Al-Arqam serta semua pintu masuk kawasan Perluasan Ketiga Saudi.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah dan pengunjung, memenuhi keperluan keluarga, melancarkan pergerakan serta mengurangkan kesesakan dan gangguan pergerakan antara pejalan kaki dengan pengguna kereta sorong bayi.

Pihak berkuasa terus menambah baik pengurusan orang ramai, kemudahan dan akses bagi menyediakan persekitaran yang selamat serta selesa untuk menampung peningkatan jumlah pengunjung sepanjang tahun.

Usaha itu mencerminkan komitmen Arab Saudi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah dan pengunjung, selaras dengan matlamat Wawasan Saudi 2030 untuk meningkatkan mutu serta memperkaya pengalaman Jemaah dan pengunjung. – Bernama-SPA