Projek cip AS$1 bilion bakal jadikan Sarawak hab teknologi Asia menjelang 2028 – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis perasmian Projek Loji Rawatan Air Trusan Baharu dan pelancaran simbolik sambungan grid elektrik di Lawas, hari ini. Foto Ukas

KUCHING, 18 November: Sarawak bakal menjadi hab teknologi cip termaju di Asia menerusi pembangunan kemudahan pembuatan cip di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya yang dijangka mula beroperasi pada 2028.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kemudahan itu akan menghasilkan cip berteknologi tinggi untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI), robot humanoid dan sistem autonomi, termasuk kenderaan serta traktor.

“Kerja pembinaan projek berkenaan telah bermula di kawasan Taiyo Yuden, Sama Jaya. Ini era baharu untuk dunia, bukan Sarawak sahaja. Sarawak akan menjadi hab bagi Asia, bukan sekadar ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Loji Rawatan Air Trusan Baharu dan menyempurnakan pelancaran simbolik sambungan grid elektrik di Lawas, hari ini.

Abang Johari berkata projek pembuatan cip itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara SoftBank Group Corp., Grab Holdings Ltd. dan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) dengan modal permulaan sebanyak AS$1 bilion.

“SoftBank memegang 80 peratus kepentingan dalam projek berkenaan, manakala Petros dan Grab masing-masing memegang 10 peratus.

“Projek ini berbeza daripada pembangunan pusat data konvensional kerana memberikan tumpuan kepada teknologi cip generasi termaju, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda Sarawak untuk menceburi industri teknologi tinggi,” katanya. – Bernama