LAWAS, 18 November: Reka bentuk muka sauk air sungai perlu dikaji semula dengan mempertimbangkan penempatannya di bahagian tengah sungai bagi mengurangkan risiko gangguan akibat pengumpulan sisa dan bahan buangan yang dibawa arus.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kebanyakan kemudahan muka sauk ketika ini dibina di tebing sungai, sekali gus menyebabkan proses pengambilan air mentah berisiko terjejas apabila sisa terkumpul di kawasan berkenaan.
“Kedudukan muka sauk di tengah sungai wajar dipertimbangkan kerana kebanyakan sisa yang dibawa arus lazimnya bergerak ke bahagian tebing.
“Saya memerhatikan Sungai Sarawak dahulu ketika berenang di sungai dan mengambil buah pelajor. Buah pelajor selalunya berada di tepi, bukan di tengah sungai.
“Jadi, paip pengambilan air sepatutnya berada di tengah sungai supaya tidak terhalang oleh sisa yang dibawa arus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Baharu di Lawas.
Menurut beliau, reka bentuk berkenaan perlu diberikan perhatian kerana air mentah yang diambil dari sungai akan melalui proses rawatan sebelum disalurkan kepada pengguna menerusi sistem paip.
Beliau turut merujuk kejadian di Mukah apabila timbunan sisa kayu dan pokok menghalang sistem pengambilan air di tebing sungai sehingga menjejaskan aliran air ke loji rawatan.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan meneliti semula reka bentuk sedia ada, khususnya pada bahagian muka sauk, bagi memastikan proses pengambilan air mentah dapat berjalan lancar tanpa gangguan.
Oleh Masrin Affirah




