Sarawak dibina semua kaum melalui kerjasama – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
AWANG Tengah ketika berucap mengenai kepentingan perpaduan dan kerjasama masyarakat pelbagai kaum sebagai asas kekuatan serta kestabilan Sarawak pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas. Foto Ukas

LAWAS, 18 November: Perpaduan antara kaum dan kestabilan politik merupakan asas penting dalam memastikan Sarawak terus membangun, dengan rakyat diingatkan supaya tidak membiarkan perbezaan pandangan atau kepentingan peribadi memecahbelahkan kesatuan yang telah dibina selama ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kekuatan Sarawak bukan terletak pada satu kaum sahaja, sebaliknya terbina melalui kerjasama masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, keturunan, bahasa dan budaya.

“Sarawak ini tidak dibina oleh satu kaum sahaja. Sarawak ini dibina oleh semua kaum yang bekerjasama antara satu dengan yang lain. Inilah kekuatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di sini, hari ini.

Dalam konteks politik semasa, Awang Tengah menegaskan bahawa rakyat perlu terus bersatu padu dan memberikan sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan pembangunan negeri.

Katanya, perpecahan akibat kepentingan peribadi atau ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara tidak seharusnya mengatasi perjuangan lebih besar dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.

“Tidak ada pilihan melainkan kita bekerjasama, bersatu padu dan memastikan kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Premier kita, kerajaan GPS akan terus memerintah dan Premier Abang Johari kita akan terus menjadi Premier Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan dan tuntutan individu tidak seharusnya menjadi punca perpecahan sehingga menjejaskan masa depan Sarawak.

Bagi memperkukuh mesej perpaduan itu, Awang Tengah turut mengimbas sejarah Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum mengambil keputusan untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri pada 1987.

Ketika itu, PBDS dipimpin oleh Datuk Amar Leo Moggie dan menjadikan perjuangan berteraskan Dayakisme sebagai antara platform politiknya selepas keluar daripada BN negeri susulan krisis politik yang dikenali sebagai Ming Court.

Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, kepimpinan PBDS, termasuk Leo Moggie dan mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing, mengadakan pertemuan dengan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud bagi menyatakan hasrat untuk kembali menyertai BN Sarawak.

Awang Tengah berkata, beliau sendiri menghadiri pertemuan pertama itu apabila pemimpin PBDS menyuarakan kesukaran untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Dayak sekiranya terus berada di luar kerajaan.

Katanya, hasrat untuk kembali menyertai BN negeri itu disampaikan tanpa sebarang syarat.

Tambahnya, satu lagi pertemuan susulan diadakan di Hotel Hilton, Kuching, apabila kepimpinan PBDS sekali lagi menyatakan pendirian sama.

“Mereka berkata, kami hendak membantu Dayak, tetapi kalau berada di luar kerajaan atau sebagai pembangkang, kami tidak mempunyai kemampuan. Jadi, bolehkah kami diterima dalam Barisan Nasional negeri?

“Tidak ada syarat-syarat. Jadi mereka diterima,” katanya.

Mengulas pengalaman itu, Awang Tengah mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen agama, kaum dan budaya sehingga menjejaskan perpaduan masyarakat Sarawak.

Katanya, pengalaman tersebut memperlihatkan kepentingan kerjasama politik dan kesatuan dalam memastikan perjuangan membela kepentingan masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen agama, kaum dan budaya kerana masyarakat Sarawak terdiri daripada pelbagai kelompok yang saling memerlukan.

“Realitinya di Sarawak ini, tidak ada satu kaum pun yang majoriti. Kita boleh menjadi majoriti kerana kita bekerjasama, setiap kaum bekerjasama antara satu dengan yang lain. Itulah kekuatan kita,” katanya.

Awang Tengah menegaskan bahawa usaha membangunkan Sarawak perlu diteruskan secara bersama bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat terus dipertahankan, selain menjamin kemakmuran negeri dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Oleh Afiq Sallehi