KUCHING, 18 November: Kira-kira 52 aduan berkaitan penutupan akaun bank tanpa penjelasan sewajarnya diterima Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS), dengan lapan kes berjaya diselesaikan menerusi bantuan pertubuhan itu setakat ini.
Presidennya, Dr Wynson Ong Teck Ping berkata, terdapat kes yang berlarutan sehingga tujuh tahun tanpa penyelesaian, sekali gus menjejaskan kehidupan, pekerjaan dan kedudukan kewangan pengguna terlibat.
“Keadaan lebih membimbangkan apabila penutupan akaun di sebuah bank berkemungkinan mempengaruhi penilaian institusi perbankan lain, sehingga pengguna turut berdepan kesukaran membuka akaun baharu.
“Pengguna yang terjejas turut berdepan kesukaran mendapatkan penyelesaian apabila diminta merujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh pihak bank, sebelum diarahkan kembali kepada institusi perbankan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, katanya, terdapat pengguna yang membuat laporan polis, namun masalah berkaitan akaun bank mereka masih tidak dapat diselesaikan.
“Perkara yang amat mengecewakan ialah apabila akaun pengguna ditutup, mereka tidak diberikan penjelasan sewajarnya.
“Tetapi apabila PPS berjaya membantu memulihkan akses kepada akaun tersebut, kami juga tidak diberikan penjelasan jelas mengenai sebab akaun itu akhirnya boleh digunakan semula,” jelasnya.
Wynson turut mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab terhadap kesulitan dan tekanan yang terpaksa ditanggung pengguna selama bertahun-tahun, sedangkan beberapa kes hanya berjaya diselesaikan selepas PPS campur tangan.
Beliau menegaskan PPS menyokong usaha institusi perbankan membanteras penipuan, pengubahan wang haram dan kegiatan akaun keldai, namun pengguna yang tidak melakukan kesalahan tidak seharusnya berdepan sekatan tanpa penjelasan munasabah.
Sehubungan itu, PPS menggesa institusi perbankan dan BNM memperbaiki mekanisme pengendalian aduan dengan menyediakan proses semakan dan rayuan lebih telus, mempercepat penyelesaian kes serta meningkatkan penyelarasan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).





