KUCHING, 18 November: Kawasan perairan Mukah dikenal pasti sebagai kawasan penting bagi pemuliharaan ikan yu dan pari di Sarawak, khususnya spesies ikan yu kepala tukul bergerigi (Scalloped Hammerhead), yang mempunyai kepentingan dari segi kitaran hidup dan pembiakan.
Kawasan seluas kira-kira 379,605 hektar itu diiktiraf sebagai Kawasan Penting Ikan Yu dan Pari (ISRA), sekali gus menjadi antara kawasan tumpuan dalam usaha memperkukuh perlindungan biodiversiti marin di negeri ini.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat wakil Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia kepada Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut (JPLS), Abdul Rahman Abdul Wahab, di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.
Pertemuan itu bertujuan meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak bagi tempoh 2027 hingga 2031, khususnya dalam memperkukuh usaha konservasi serta pengurusan spesies ikan yu dan pari di perairan Sarawak.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk pengurusan kawasan perlindungan marin, pengurangan tangkapan sampingan (bycatch), kajian populasi serta penilaian aktiviti perdagangan dan pasaran spesies berkenaan.
Turut diberi perhatian ialah inisiatif Landskap Laut Barat Daya Sarawak yang meliputi kawasan dari Kuching hingga Mukah, dengan sasaran pengurusan kawasan perairan pesisir seluas 2.5 juta hektar menjelang 2031.
Inisiatif itu memberi penekanan kepada perlindungan habitat marin, pengurusan kawasan ISRA serta usaha mengurangkan kematian ikan yu dan pari akibat tangkapan tidak sengaja oleh nelayan.
Dalam pada itu, JPLS menekankan keperluan menjalankan kajian dan penilaian lebih terperinci terhadap spesies ikan yu dan pari, terutama spesies yang disenaraikan dalam kategori terancam.
Kajian berasaskan bukti saintifik yang kukuh penting bagi menentukan status populasi, mengenal pasti tahap ancaman sebenar serta merangka langkah pemuliharaan yang bersesuaian.
Bagaimanapun, usaha konservasi juga perlu mengambil kira aspek sosioekonomi komuniti nelayan memandangkan aktiviti penangkapan ikan yu dan pari mempunyai kaitan dengan sumber pendapatan serta kelangsungan ekonomi mereka.
Sehubungan itu, pendekatan pemuliharaan perlu mengimbangi kepentingan melindungi biodiversiti marin dengan memastikan kesejahteraan dan sumber pendapatan komuniti nelayan terus terpelihara.
Kunjungan itu turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran dalam mengenal pasti pendekatan kerjasama yang lebih berkesan.
Kerjasama strategik itu diharap dapat memperkukuh perlindungan spesies ikan yu dan pari, memelihara habitat marin penting serta memastikan kelestarian sumber perikanan Sarawak untuk generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman





