MUKAH, 18 November: Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah digesa memperkukuh integriti, disiplin dan sifat berkecuali menjelang hari penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tugasan pilihan raya memerlukan komitmen, disiplin dan kesiapsiagaan menyeluruh daripada setiap warga PDRM, merangkumi aspek keselamatan di pusat pengundian serta ketenteraman awam sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Antara perkara utama yang ditekankan ialah keperluan untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam, mengambil pendekatan proaktif bagi mencegah sebarang kejadian yang boleh menggugat keselamatan serta memastikan kelancaran proses pilihan raya.
“Semua warga PDRM juga diingatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dan profesional, tidak menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana parti politik atau calon serta melaksanakan tugas berdasarkan undang-undang, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Mukah bagi bulan November bertempat di perkarangan IPD Mukah, hari ini.
Dalam pada itu, Rizal turut memaklumkan arahan pembekuan cuti berkuat kuasa mulai 23 November 2026 hingga 18 Disember 2026 bagi memastikan kekuatan anggota mencukupi sepanjang tempoh persiapan, pelaksanaan dan selepas PRN Sarawak Ke-13.
Menyentuh aspek tugasan operasi, beliau mengarahkan ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua polis balai supaya memastikan kekuatan logistik berada dalam keadaan siap siaga.
“Ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua polis balai diminta memastikan kekuatan anggota, kenderaan, peralatan komunikasi serta aset operasi sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, di samping merancang setiap penugasan dengan teliti,” jelasnya.
Selain itu, beliau menggesa agar seluruh warga IPD Mukah terus memelihara integriti serta mengamalkan budaya kerja berpasukan dalam menjalankan tugas harian.

“Semua anggota terus memelihara integriti dan maruah pasukan, mengamalkan budaya kerja berpasukan serta saling menghormati tanpa mengira pangkat dan jawatan,” katanya lagi.
Majlis turut disusuli dengan penyematan pangkat serta penyampaian sijil penghargaan kepada warga IPD Mukah yang menunjukkan kecemerlangan dalam tugas.
Turut hadir, 84 warga IPD Mukah di bawah pimpinan Pegawai Baris, Inspektor Sahari Bahram, yang terdiri daripada tujuh Pegawai Kanan Polis, 60 Pegawai Rendah Polis dan 16 Pegawai Awam.
Oleh Adibfahmy





