PETRA JAYA, 18 November: Sarawak dan India berpotensi memperluas kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, pelaburan, teknologi, pendidikan serta industri farmaseutikal menerusi hubungan persahabatan yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak.
Potensi itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia bersama Somnath Ghosh, kepada Yang di Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri, di sini, pagi tadi.
Dalam pertemuan itu, Tun Wan Junaidi berkata, India memiliki kepakaran bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, perubatan serta penyelidikan dan inovasi merupakan rakan strategik berpotensi dalam menyokong pembangunan Sarawak.
Beliau berkata, Sarawak kini memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi baharu berteraskan tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, ekonomi digital, hidrogen dan industri berteknologi tinggi.

Menurutnya, kestabilan politik, keharmonian sosial serta kekayaan sumber asli negeri turut membuka ruang kepada kerjasama dan pelaburan strategik yang boleh memberikan manfaat bersama kepada Sarawak dan India.
Tun Wan Junaidi turut menekankan potensi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), khususnya dalam industri farmaseutikal dan bioteknologi.
Katanya, kekayaan biodiversiti serta sumber semula jadi Sarawak berpotensi diterokai secara saintifik dan mampan bagi menghasilkan produk perubatan serta farmaseutikal bernilai tinggi.
Beliau turut melihat peluang kerjasama akademik dan penyelidikan antara empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak dengan institusi pendidikan serta pusat penyelidikan terkemuka di India.
Dalam hubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama antarabangsa perlu melangkaui kemasukan pelaburan dan penggunaan teknologi, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pemindahan ilmu, pemindahan teknologi serta pembangunan kepakaran tempatan.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi melahirkan generasi muda Sarawak yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global, selain berupaya menjadi pencipta serta peneraju dalam bidang teknologi, sains dan perubatan.
Dalam aspek pembangunan modal insan, Tun Wan Junaidi berkata, Sarawak turut memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris serta pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, penguasaan bahasa Inggeris penting bagi memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, penyelidikan saintifik, teknologi dan komunikasi antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya saing anak Sarawak dalam ekonomi global.
Sementara itu, dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, beliau berpandangan bahawa interaksi antara masyarakat Sarawak dan India wajar dipertingkatkan bagi memperkukuh persefahaman serta hubungan persahabatan.
Katanya, Sarawak yang mempunyai 73 kumpulan etnik dengan kepelbagaian budaya, adat resam, bahasa dan warisan, selain kekayaan biodiversiti serta keindahan alam semula jadi, mempunyai potensi menarik lebih ramai pelancong dari India.
Beliau berharap kunjungan hormat itu dapat membuka lembaran baharu kepada kerjasama lebih erat, strategik dan mampan antara Sarawak dengan India, khususnya dalam pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada Somnath atas kunjungan berkenaan serta berharap hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua pihak terus diperkukuh demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.
Turut hadir Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Hasan; Kaunselor Kebudayaan, Vijayalakshmi Sunderrajan; serta Setiausaha Pertama (Konsular), Rajesh H. Maniyil.




