KUALA LUMPUR, 18 November: Setelah sekian lama menyepi daripada industri seni, penyanyi yang pernah menambat hati peminat dengan lagu pop etnik, world music, Waheeda Wassini, bakal kembali dengan single terbaharu yang diilhamkan daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW.
Dijangka menemui peminat dalam masa terdekat, Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab, berkata lagu baharunya itu berkisar tentang kebangkitan semula selepas diuji cabaran hidup.
“Lagu in tentang perjalanan hidup, untuk bangkit semula selepas menempuh ujian. Semua orang lalui ujian hidup, tetapi, inspirasi saya datang daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW dan apa yang Baginda lalui di Makkah dan Madinah.
“Kita dapat lihat bagaimana Baginda akhirnya berjaya mengharungi semua itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada tayangan perdana I’m Not Okay Cikgu!, di sini baru-baru ini.
Selain single berkenaan, penyanyi yang pernah merangkul trofi Album Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2008 dan bekas pemenang tempat ketiga Voice of Asia itu juga dalam perancangan untuk tampil dengan album baharu.
Sekalipun agak lama menyepi daripada industri, isteri kepada penyanyi dan penceramah terkenal Akhil Hayy ini tetap peka akan perkembangan muzik semasa terutamanya kecenderungan generasi muda yang dilihat semakin kurang mengenali seni dan budaya tempatan.
Melahirkan kebimbangan akan senario itu, Waheeda yang kini merupakan tenaga pengajar di Sekolah Rendah Agama Integrasi Al-Amin Darul Musthofa sejak Mei 2024, berkata perkara tersebut disedarinya hasil interaksi dengan pelajarnya.
“Saya mahu memperkenalkan asas muzik kepada pelajar dan memberi mereka pemahaman tentang bagaimana muzik dapat membantu perkembangan minda.
“Saya pernah tanya mereka, tahu tak apa itu joget atau sawah padi? Saya agak terkejut apabila ada yang tidak tahu. Bila ditanya mengenai tarian, mereka lebih mengenali K-pop berbanding tarian tradisional. Perkara ini agak membimbangkan,” katanya.
Menyifatkan situasi itu mungkin berpunca daripada kebergantungan pada peranti pintar dan media sosial, anak kelahiran Johor Bahru tersebut berpendapat ada baiknya penggunaan kedua-dua wadah berkenaan dihadkan.
“Akan tetapi semuanya bermula di rumah. Keluarga perlu main peranan kerana bukan tanggungjawab guru untuk mengajar semua perkara. Guru cuma membantu,” katanya.- Bernama




