Dari pentas kampung ke piring hitam, kisah Penny Lily

Facebook
WhatsApp
NOSTALGIA…Wajah Penny Lily ketika zaman mudanya yang menjadi kenangan era kegemilangan muzik Iban suatu ketika dahulu.

KOTA SAMARAHAN, 17 November: Masa mungkin telah membawa pergi zaman kegemilangannya, namun suara dan alunan lagu penyanyi veteran Iban, Penny Lily, 71, tetap hidup dalam ingatan peminat meskipun lebih lima dekad telah berlalu sejak beliau mula mencipta nama dalam dunia seni.

Bermula daripada persembahan di pentas kecil di kampung sekitar penghujung 1960-an, perjalanan seninya meninggalkan kenangan yang sehingga kini masih dekat di hati masyarakat Iban, khususnya mereka yang membesar dengan lagu-lagu dendangannya.

Penyanyi berketurunan Iban-British yang kini menetap di Australia itu mengakui tidak pernah menyangka lagu-lagu yang dirakamkan ketika usia remaja masih dimainkan di radio dan didengari oleh generasi baharu sehingga hari ini.

Menurutnya, segala-galanya bermula ketika beliau berusia sekitar 14 hingga 15 tahun apabila menyertai kumpulan muzik Raban Siol Kandis yang sering mengadakan persembahan di sebuah dewan masyarakat.

Katanya, kumpulan itu turut menghiburkan penduduk kampung berhampiran, khususnya ketika sambutan Gawai Dayak, Krismas dan majlis perkahwinan. Pengalaman tersebut menjadi antara kenangan paling bermakna dalam perjalanan awal seninya.

“Saya masih ingat ketika mula merakamkan lagu dalam bentuk piring hitam, usia saya sekitar 16 tahun dan ketika itu masih bersekolah menengah,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak.

Mengimbau zaman mudanya, Penny Lily berkata kenangan bersama anggota kumpulan muzik berkenaan masih segar dalam ingatannya kerana mereka bukan sekadar berkongsi pentas, malah menikmati setiap persembahan dalam suasana penuh kemesraan.

“Kami sangat serasi dan tidak pernah bergaduh. Kami hanya menikmati setiap persembahan dan membiarkan semuanya berjalan dengan sendirinya,” katanya.

Antara detik paling bermakna dalam perjalanan seninya ialah peluang membuat persembahan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan Krismas.

Beliau turut mengenang pengalaman mempersembahkan lagu Iban dalam sebuah pertunjukan fesyen khas dari Filipina yang dianjurkan oleh Malaysia Airlines ketika beliau bekerja dengan syarikat penerbangan berkenaan.

KENANGAN…Penyanyi veteran Iban, Penny Lily mengimbau perjalanan seninya sejak penghujung 1960-an ketika ditemu bual Utusan Sarawak, baru-baru ini. Foto Norman B

Ketika penyanyi lain membawakan lagu Melayu dan Inggeris, Penny Lily tampil dengan lagu Iban, sekali gus memperkenalkan identiti dan bahasa ibundanya kepada khalayak yang lebih luas.

“Saya sangat bangga kerana dapat menyanyikan lagu dalam bahasa sendiri. Itulah identiti saya dan sesuatu yang amat saya cintai,” ujarnya.

Namun, di sebalik kenangan manis itu, perjalanan seni Penny Lily turut diwarnai cabaran tersendiri, khususnya apabila beliau mula berduet dengan mendiang Michael Jemat dan Christopher Kelly.

Menurutnya, lagu duet menuntut penghayatan yang lebih mendalam kerana liriknya banyak menyentuh kisah kehidupan sebenar dan percintaan, berbeza daripada pengalaman awalnya sebagai penyanyi solo.

Lagu kekal, zaman berganti

Antara lagu popular yang pernah melonjakkan nama Penny Lily dalam industri muzik Iban ialah Terubah Bertemu dan Nuan Aja Di Ati Aku.

Beliau turut merakamkan lagu duet Terubah Tua Bekelala dan Sama-Sama Rindu bersama mendiang Michael Jemat, yang menjadi antara karya nostalgia sepanjang perjalanan seninya.

Lagu-lagu berkenaan bukan sahaja menjadi sebahagian daripada legasi seni Penny Lily, malah terus menghidupkan nostalgia terhadap era kegemilangan muzik Iban suatu ketika dahulu.

Bagi Penny Lily, perkara yang paling menyentuh hati bukanlah populariti yang pernah dikecapinya, sebaliknya hakikat bahawa lagu-lagunya masih terus didengari meskipun ramai peminat yang mengikuti perjalanan seninya sejak dahulu telah tiada.

“Saya sangat menghargai peminat saya. Walaupun ramai antara mereka sudah tiada, lagu-lagu saya masih ada untuk didengari oleh semua orang, sama ada generasi muda mahupun tua.

BERSAMA SUAMI…Penyanyi veteran Iban, Penny Lily bersama suaminya ketika ditemui baru-baru ini. Foto Norman B

“Saya sangat bangga kerana pernah menyanyi untuk masyarakat dan lagu-lagu itu masih dimainkan di radio sehingga sekarang,” katanya.

Meskipun namanya masih dikenang, Penny Lily tidak berhasrat untuk kembali aktif dalam industri muzik kerana percaya sudah tiba masanya generasi baharu diberikan peluang untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

Baginya, zaman kegemilangan itu kini menjadi sebahagian daripada sejarah hidup yang akan sentiasa dikenang, manakala pentas muzik wajar diteruskan oleh bakat baharu.

“Saya rasa lebih baik memberikan peluang kepada orang lain untuk menunjukkan bakat mereka. Bagi saya, semuanya kini menjadi sejarah.

“Generasi muda yang mempunyai bakat harus diberikan peluang untuk melakukan perkara sama,” katanya.

Jauh di Australia, Sarawak tetap di hati

Walaupun kini menetap di Australia, hubungan Penny Lily dengan Sarawak tidak pernah terputus. Beliau masih pulang ke negeri kelahirannya setiap satu atau dua tahun sekali untuk bertemu keluarga.

Jarak yang memisahkan beliau daripada Sarawak tidak memadamkan kenangan zaman mudanya, terutama pengalaman bersama rakan-rakan seperjuangan dalam dunia muzik Iban.

Dalam pada itu, ketika mengulas perkembangan industri muzik masa kini, Penny Lily mengakui teknologi kecerdasan buatan (AI) mempunyai manfaat tersendiri. Namun, beliau lebih menghargai keaslian suara dan rakaman muzik pada zaman dahulu.

“AI memang membantu, tetapi kadangkala bunyinya tidak kedengaran asli bagi saya. Saya lebih menyukai versi lama kerana keasliannya,” jelasnya.

Mengimbau kembali zaman awal pembabitannya dalam industri muzik, Penny Lily turut mendedahkan bahawa soal bayaran bukanlah perkara utama baginya kerana minat dan kegembiraan ketika membuat persembahan jauh lebih bermakna berbanding ganjaran yang diterima.

NOSTALGIA…Kulit album Terubah Tua Bekelala yang menampilkan penyanyi veteran Iban, Penny Lily bersama mendiang Michael Jemat, menjadi antara kenangan perjalanan seni mereka suatu ketika dahulu.

“Saya tidak pernah memikirkan sangat tentang bayaran. Saya tidak pernah berunding atau mengambil tahu berapa banyak yang dibayar.

“Asalkan saya menerima apa yang sepatutnya untuk persembahan saya, saya sudah gembira. Apa yang penting, saya menikmati setiap detik itu,” katanya.

Kini, selepas lebih lima dekad sejak mula melangkah ke dunia muzik, Penny Lily berharap generasi penyanyi muda terus berani mengejar impian dan tidak mudah mengalah apabila berdepan cabaran.

Beliau percaya setiap individu yang mempunyai bakat perlu diberikan peluang untuk berkembang, sekali gus memastikan industri muzik Iban terus melahirkan penyanyi baharu pada masa hadapan.

Biarpun pentas yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya kini tinggal kenangan, lagu-lagu Penny Lily masih terus berkumandang, menjadi penghubung antara generasi terdahulu dengan generasi hari ini.

Zaman mungkin berubah dan wajah peminat silih berganti, namun suara Penny Lily kekal sebagai sebahagian daripada nostalgia muzik Iban yang terus dikenang.

Oleh Norman B