SPAOH, 17 November: Nasib 28 keluarga mangsa kebakaran Rumah Panjang Anyie, Matop, Paku di sini terus diberi perhatian menerusi pelbagai usaha pemulihan, termasuk bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga bagi membina kediaman sementara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan komited memastikan semua keluarga terjejas menerima bantuan sewajarnya, termasuk penyediaan tapak penempatan dan pembinaan rumah panjang baharu.
Beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, mengadakan lawatan susulan kepada keluarga mangsa di Matop petang tadi bagi meninjau keadaan mereka serta perkembangan penyaluran bantuan.
Menurut Uggah, kehadiran wakil rakyat bersama masyarakat ketika berdepan musibah amat penting bagi memastikan kebajikan keluarga terjejas terus terbela.
“Susah atau senang, kami sebagai wakil rakyat akan sentiasa berusaha sedaya upaya membantu rakyat, khususnya mereka yang sedang menghadapi musibah seperti mangsa kebakaran di Matop,” katanya.
Bagi memastikan keluarga terjejas mempunyai tempat berteduh sementara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga bagi membantu pembinaan kediaman sementara sehingga rumah panjang baharu siap.
Pembinaan rumah panjang baharu pula akan dibantu menerusi Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) Kerajaan Sarawak sehingga RM70,000 bagi setiap keluarga serta Skim Pinjaman Perseorangan Rumah Panjang (PKPRP) melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, tapak penempatan sementara sudah dikenal pasti hasil perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Betong, manakala kerja pembersihan kawasan dirancang menggunakan peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Sementara menunggu penempatan dan kediaman baharu disediakan, semua keluarga terjejas akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Panglima Rentap, Betong.
Uggah berkata, pelaksanaan pelan pemulihan itu memerlukan penyelarasan menyeluruh antara pelbagai agensi, termasuk Pejabat Residen Betong, Pejabat Daerah Betong, Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Betong, JKM Betong serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong.
Pejabat Residen Betong akan menyelaras urusan pentadbiran dan mengemukakan permohonan peruntukan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk pertimbangan dan kelulusan.
JKR Bahagian Betong pula akan menjalankan penilaian teknikal di lokasi, selain menyediakan skop kerja serta anggaran kos pembinaan berdasarkan peruntukan yang diluluskan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang tampil menghulurkan sumbangan serta bantuan kepada keluarga terjejas.
Tragedi kebakaran pada Sabtu lalu memusnahkan Rumah Panjang Anyie yang dibina pada 1943, menyebabkan 28 keluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengorbankan sebarang nyawa.
Oleh Adi Safarman




