KUALA LUMPUR, 17 November: Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka menerima sebanyak 1,389 unit ambulans baharu menerusi perolehan yang dilaksanakan secara berperingkat, bagi menangani kekurangan ambulans di fasiliti kesihatan seluruh negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 989 unit ambulans akan diperoleh menerusi proses perolehan yang sedang diselaraskan, manakala 400 unit lagi telah diluluskan di bawah Belanjawan 2027.
“Pelantikan syarikat pembekal akan dimuktamadkan pada Disember 2026 dan keseluruhan 989 unit dijangka akan dibekalkan secara berperingkat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KKM, di Dewan Rakyat hari ini.
Dzulkefly berkata KKM sepatutnya menerima 590 unit ambulans baharu selewat-lewatnya pada penghujung 2024 menerusi kontrak yang dianugerahkan pada 2022, namun syarikat pembekal hanya berjaya membekalkan 115 unit sepanjang tempoh kontrak yang berakhir pada November 2024.
Susulan kegagalan pembekalan itu, KKM memutuskan untuk tidak menyambung kontrak tersebut dan telah menyelaras semula peruntukan sedia ada, selain mendapatkan peruntukan tambahan bagi perolehan kontrak ambulans baharu.
Sementara itu, Dzulkefly berkata pelaksanaan Skim Perubatan MADANI (SPM) tidak diteruskan pada tahun depan, selepas matlamat asalnya bagi mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital berjaya dicapai, sebaliknya ia akan diharmonikan dengan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Beliau berkata langkah itu diambil bagi membolehkan kementerian beralih daripada konsep rawatan penyakit akut kepada pendekatan penjagaan kesihatan menyeluruh dan berasaskan nilai, khususnya dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).
Menerusi pendekatan itu, beliau berkata pemeriksaan kesihatan di klinik swasta bukan sahaja tertumpu kepada masalah kesihatan akut seperti batuk dan demam, malah turut merangkumi pemantauan penyakit seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol.
“SPM ini kita telah lebih harmonikan dengan PeKa B40 supaya acute care dapat kita tangani, tetapi lebih penting daripada itu adalah menjaga kesihatan rakyat dengan status kesihatan (menyeluruh).
“Jadi, ke situ arah untuk kami mendapatkan value-based healthcare system. Jadi, saya minta maaf, SPM tak dapat kita teruskan. Kita akan perkukuh dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) nanti pengurusan NCD seperti yang dimahukan,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM47,704,298,800 yang diperuntukkan kepada KKM dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 31 Ahli Parlimen. – Bernama





