51 usahawan Lundu perkasa kemahiran pembungkusan, pelabelan produk makanan

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 51 usahawan tempatan menyertai Kursus Penyediaan Makanan dari Rumah, Pembungkusan dan Pelabelan Produk Berasaskan Pertanian 2026 anjuran Pejabat Pertanian Daerah Lundu. Foto: Jabatan Pertanian Sarawak

LUNDU, 17 November: Seramai 51 usahawan tempatan menyertai Kursus Penyediaan Makanan dari Rumah, Pembungkusan dan Pelabelan Produk Berasaskan Pertanian 2026 anjuran Pejabat Pertanian Daerah Lundu yang berlangsung selama dua hari di Osuka Beach Resort, Lundu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian Sarawak, kursus berkenaan bertujuan memberikan pendedahan dan bimbingan kepada usahawan tempatan mengenai aspek keselamatan makanan, pembungkusan serta pelabelan produk, khususnya kepada pengusaha Makanan Sediaan di Rumah (Home-Based Food).

Program itu turut memberi penekanan terhadap kepentingan pematuhan standard kebersihan dan keselamatan makanan sebelum sesuatu produk dipasarkan kepada pengguna.

Ini selaras dengan inisiatif Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), bagi mengiktiraf serta mendaftarkan pengusaha makanan dari rumah yang memenuhi keperluan ditetapkan.

Kursus berkenaan dikendalikan dua penceramah jemputan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, iaitu Muhammad Fahmi Ismail dan Joel Darren Blaydes yang merupakan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.

Sepanjang program, peserta mengikuti sesi teori dan latihan praktikal merangkumi pengenalan peraturan serta spesifikasi pembungkusan dan pelabelan makanan, selain tatacara permohonan Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah.

Peserta turut didedahkan dengan proses pendaftaran dan pengisian Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) secara dalam talian, termasuk bimbingan praktikal menghasilkan draf label produk berdasarkan garis panduan KKM.

Jabatan Pertanian Sarawak berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan peserta untuk meningkatkan kualiti produk, memastikan pematuhan piawaian keselamatan makanan serta memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk keluaran usahawan tempatan.

Usaha itu juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang pemasaran kepada produk berasaskan pertanian, sekali gus membantu memperkasa sektor industri asas tani di daerah Lundu.

Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Pengembangan, Alexander Geraman Albert serta Hartley Angelo Lenon Namut dan Aleeztabida Jumilas dari Bahagian Industri Asas Tani, Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Sarawak.

Oleh Adi Safarman