SPAOH, 17 November: Seramai 17 peserta Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima bantuan bagi melaksanakan projek ternakan ayam kampung yang berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar.
Bantuan disalurkan secara berperingkat oleh Lembaga Kemajuan Tanah (SLDB) dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban, bermula dengan pengagihan bahan pembinaan reban sebagai persediaan awal peserta memulakan aktiviti penternakan.
Pakej bantuan itu turut merangkumi pembekalan anak ayam, makanan ternakan, sistem pencahayaan dan pelbagai peralatan penternakan bagi memastikan peserta mempunyai kemudahan asas untuk mengusahakan projek berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PROSPEK merupakan antara inisiatif untuk membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar menerusi aktiviti pertanian dan penternakan yang berpotensi menjana pendapatan.
“Melalui projek ini, kita mahu membantu peserta membangunkan aktiviti penternakan ayam kampung dengan menyediakan keperluan asas yang diperlukan.
“Bantuan diberikan dalam bentuk barangan dan peralatan serta disalurkan secara berperingkat mengikut pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Saban menegaskan bahawa komitmen dan kesungguhan peserta merupakan faktor penting bagi memastikan projek berkenaan bukan sahaja dapat dilaksanakan, malah berkembang sebagai kegiatan ekonomi yang berdaya maju.
“Kita mahu peserta bukan sahaja menjalankan penternakan untuk kegunaan sendiri, tetapi berusaha mengkomersialkannya.
“Dengan pengurusan yang baik dan komitmen berterusan, projek ini berpotensi meningkatkan pendapatan keluarga serta menyumbang kepada bekalan ayam kampung untuk pasaran tempatan,” katanya.
Seramai 17 peserta berkenaan berasal dari Bangkit Ijok, Luban Ulu, Penunus, Rimbas Tengah, Babu Sedebau, Nanga Lop, Nanga Teru Atas, Ulu Bayor, Nanga Ulai, Ulu Teru dan Tanjung Asal.
Terdahulu, pelaksanaan PROSPEK di Daerah Betong merupakan inisiatif yang dicadangkan oleh Uggah kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Penternakan ayam kampung secara organik dan penanaman halia Bentong menggunakan kaedah fertigasi dikenal pasti sebagai dua projek awal di bawah inisiatif berkenaan bagi mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta memperluas peluang keusahawanan masyarakat luar bandar.
Oleh Adi Safarman





